“Saya akan ditidurkan, maafkan semua” Post Terakhir Facebook Buat Netizen Sebak

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Di mana ada awal, pasti akan ada akhir. Itu lah kehidupan.

Ketika akhir sebuah perjalanan akan menjadi awal perjalanan yang lain, dan sebuah perpisahan akan menjadi pertemuan dengan sesuatu yang baru.

Kes positif Cvid-19 di Malaysia masih mencatatkan kes harian yang tinggi dengan jumlah kematian yang semakin meningkat.

Terbaharu, tular di media sosial dengan kisah Muhammad Hanizam Azman, 30, yang pergi menghadap ilahi akibat jangkitan virus tersebut.

“Sy (saya) akan ditidurkan, maafkan semua”.

Itu merupakan hantaran terakhir dimuat naik Muhammad Hanizam Azman atau lebih dikenali sebagai ‘angah’ di Facebooknya sebelum dia meninggal dunia akibat positif di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), semalam.

Lebih menyayat hati, Allahyarham meninggal dunia empat jam selepas memuatnaik hantaran itu dengan ramai rakannya masih meninggalkan komen tanpa mengetahui dia sudah pergi buat selama-lamanya.

Dia yang mesra dipanggil Angah dalam kalangan keluarga serta rakan juga adalah seorang penyanyi dan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009.

Arwah juga pernah dinobatkan sebagai johan Bintang Asli Remaja kategori lelaki yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah pada 2014.

Sepupu arwah, Khairul Hairuzi Osman, 36, berkata, pemergian Angah sangat dirasai kerana mereka berdua memang rapat sejak kecil namun dia reda dengan takdir.

Menurutnya, dia dan arwah tinggal bersama kerana rumah mereka di Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda berhampiran.

“Arwah seorang yang rajin bekerja, selain menerima undangan menyanyi, saya dan Angah turut menjalankan perniagaan kedai makan di kampung.

“Arwah juga cukup mesra dengan semua orang dan tidak pernah berkira langsung untuk menghulurkan bantuan sekiranya saya atau rakan dalam kesusahan,” katanya.

Dia dan arwah ada memelihara seorang anak angkat lelaki yang kini berusia dua tahun dan sebelum meninggal dunia arwah berpesan supaya menjaga anak angkat itu dengan baik.

“Arwah yang masih bujang adalah anak kedua daripada lima beradik dan semua ahli keluarganya dijangkiti CVID-19 dengan ada antara mereka masih menjalani kuarantin.

“Semua ahli keluarga sudah dimaklumkan pemergiannya kecuali ibu arwah kerana masih dirawat menggunakan bantuan oksigen,” katanya.

Mereka kali terakhir bertemu selepas dia menghantar arwah yang mengadu tidak boleh bernafas ke HSAH tiga hari sebelum itu. Jelasnya lagi.

Terus amalkan SOP. Jangan keluar rumah jika tiada keperluan. Jika terpaksa keluar terus amalkan SOP yang sepatutnya, dapatkan rawatan jika anda bergejala dan jangan takut untuk mengambil suntikan vaksin. Kita Jaga Kita.