Sarawak & Kedah Tangguh Pelaksanaan PKPB

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei 2020.

Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan segelintir pihak kerana bimbang tindakan demikian akan mencetuskan gelombang kedua wabak COVID-19.

Menurut kenyataan dari pihak kerajaan, pelaksanaan PKPB ini adalah untuk membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Namun begitu, kerajaan negeri Sarawak dan Kedah mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan PKPB sehingga keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri.

Di dalam laporan BH Online, kerajaan negeri Sarawak bagaimanapun belum bersedia bagi melaksanakan kelonggaran PKPB itu.

Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas berpendapat kerajaan negeri perlu  meneliti perkara ini sebelum membenarkan  mana-mana aktiviti ekonomi dan sosial dijalankan.

Kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengkaji implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi itu dengan meneliti sektor mana yang akan dibuka, bila dan tempoh masa mereka akan dibenarkan untuk beroperasi.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan di Sarawak yang berdepan dengan COVID-19 yang masih membimbangkan. Bagaimanapun, kerajaan Sarawak akan mengumumkan secara berperingkat pembukaan semula kegiatan ekonomi. Perkara tersebut perlu mematuhi beberapa prosedur.

Sementara itu, kerajaan Kedah juga mengambil langkah yang sama untuk menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga keputusan dicapai dalam mesyuarat pada hari Selasa ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pelaksanaan kelonggaran PKPB itu akan diteliti bagi memastikan kesesuaian mengikut keperluan negeri.

Kerajaan negeri bertekad untuk mempertahankan status Kedah sebagai Zon Hijau selepas tiada lagi kes aktif Covid-19 dikesan di semua daerah.

Oleh yang demikian, pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan sehingga keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas Covid-19) pada 5 Mei ini.

Langkah tersebut diambil adalah bagi mengekalkan Kedah berada di Zon Hijau dari jangkitan Covid-19 itu.

Dalam pada itu, rakyat juga perlu kekal berada di rumah, menjaga kebersihan dan amalkan jarak sosial.