PM Ucap Takziah Polis Maut Dilanggar Pemandu Disyaki Mabuk, Ini Luahan Keluarga

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Menerusi Facebook, Tan Sri Muhyiddin menzahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan dan menganggapnya satu kehilangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada kepada keluarga Allahyarham dan PDRM. Saya berharap tragedi ini tidak mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners (barisan hadapan) yang lain dalam menjalankan tugas.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya sambil turut menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

Dalam pada itu, keluarga Allahyarham redha dengan kehilangan ahli keluarga mereka ketika bertugas.

Sebagai keluarga polis, mereka sangat memahami tugas serta tanggungjawab Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.

Namun, bagi Sarjan (B) Muhammad Ismail Othman yang juga bapa Allahyarham, keluarganya bagaimanapun, sedikit terkilan kerana kejadian berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana orang ramai sepatutnya duduk di rumah, bukannya berada di jalan raya.

“Selepas mendengar berita itu saya rasa sedih, saya tidak menyangka perkara ini akan berlaku tetapi ini semua kehendak Allah.

“Saya redha walau saya menangis macam mana pun saya kena redha dengan apa yang berlaku ini, saya kena redha dengan ujian ini.

“Cuma ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pukul dua pagi tidak sepatutnya ada kenderaan atas jalan raya.

“Orang ramai kena faham betul-betul perkara ini, jangan main redah saja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Rambutan, Perak pada Ahad.

Dalam kejadian 2.11 pagi itu, Allahyarham Safwan 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pikap disyaki dipandu oleh pemandu mabuk berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 berhampiran plaza berkenaan.