[REVIEW] The Lion King (2019), Ini Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Menonton

The Lion King merupakan remake untuk filem yang mempunyai tajuk yang sama iaitu The Lion King pada tahun 1994.

Diarahkan oleh Jon Favreau (bagi yang tidak mengenalinya, Jon merupakan pelakon watak Happy Hogan dalam francais Marvel Cinematic Universe), filem ini adalah remake ketiga Disney pada tahun ini selepas Dumbo dan Aladdin.

Filem ini boleh dikatakan straight remake bagi filem asal. Plotnya pun sama seperti versi asal. Jadi, tiada sebarang plot twist bagi yang sudah menonton filem versi asal.

Hampir 80% dialog sama seperti filem asal. Mungkin ini cara Disney playsafe dalam penghasilan filem ini.

Sinopsis

Filem ini berkisarkan pengembaraan Simba (JD McCrary), anak kepada Mufasa (James Earl Jones), seekor singa yang juga raja dan pemerintah kerajaan binatang yang digelar Pride Land. Simba merupakan pewaris takhta bapanya dan disebabkan itu, menimbulkan rasa dengki kepada bapa saudaranya, Scar (Chiwetel Ejiofor) yang merasakan bahawa dia yang sepatutnya menjadi raja bukannya Simba. Scar kemudiannya berkomplot dengan spesies hyena melakukan rampasan kuasa hingga mengakibatkan kematian Mufasa dan Simba lari dari koloni mereka.

Simba (Donald Glover) yang kemudian telah dewasa, hidup dalam buangan bersama seekor meerkat dan seekor babi hutan bernama Timon (Billy Eichner) dan Pumbaa (Seth Rogen) dan berpegang dengan moto Hakuna Matata iaitu hidup tanpa kerisauan. Konflik timbul apabila Simba perlu membuat keputusan untuk terus hidup begitu atau pulang ke tempat asalnya untuk menuntut haknya sebagai raja.

Scar dan hyena

Kekuatan

Jon Favreau mendedahkan bahawa setiap adegan dalam filem ini adalah sepenuhnya dihasilkan oleh komputer.

Namun, menonton filem ini ibarat menonton dokumentari Animal Planet. Begitu realistik seperti pihak Disney menangkap segala jenis haiwan liar, latih mereka di dalam sarkas, berikan mereka skrip dan suruh haiwan itu berlakon.

Dari bulu singa hinggalah pergerakan pokok ditiup angin, semuanya nampak real.

Untuk watak Timon dan Pumbaa, kami merasakan mereka lebih kelakar berbanding versi 1994.

Jika watak lain mempunyai dialog yang sama seperti versi asal, tidak bagi dua ekor watak ini. Gelagat dua ekor haiwan ini banyak membuatkan kami ketawa. Tanpa kehadiran mereka, filem ini mungkin agak bosan.

Simba, Timon dan Pumbaa

Kelemahan

Kerana ini adalah filem remake, ia didapati mewarisi kelemahan filem asal. Filem ini agak lambat panas, hanya menjadi menarik selepas babak kematian Mufasa dan setelah Simba bertemu dengan Timon dan Pumbaa sama seperti versi 1994.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, filem ini mempunyai hampir 80% dialog yang sama dengan filem pada tahun 1994. Penonton yang sudah menonton filem terdahulu boleh meneka dialog seterusnya.

Ini boleh mengurangkan keterujaan ketika menonton. Bagi yang baru pertama kali menonton The Lion King, mungkin tiada masalah kot.

Dan boleh dikatakan juga, kelemahan filem ini terletak pada kekuatannya. Di sebalik CGI dan sinematografi yang foto realistik, sesetengah emosi hilang pada wajah haiwan yang menjadi watak dalam filem ini.

Jika dahulu kita boleh lihat betapa sedihnya wajah Simba ketika kematian ayahnya, kini tiada lagi kerana mereka menumpukan wajah yang lebih realistik.

pembandingan antara versi 2019 dan 1994. versi 2019 lebih realistik tetapi versi 1994 beremosi

Perlukah anda menonton?

Bagi kami, boleh dikatakan bahawa faktor nostalgia adalah antara sebab mengapa kami ke pawagam menonton filem ini.

Kami masih berpendapat filem ini boleh dilayan terutama bagi generasi baru yang masih belum menonton versi yang asal. Magisnya mungkin kurang namun masih enjoyable.

Akhir sekali, Hakuna matata!!

Trailer The Lion King

Tarikh tayangan di Malaysia : 17 Julai 2019

Durasi : 118 minit

Rating YOY : 6/10