[REVIEW] Fast & Furious: Hobbs & Shaw (2019), Aksi Gempak The Rock dan Statham Tapi..

Filem ini mengisahkan tentang Upin dan Ipin yang menelan steroid dan cuba menyelamatkan Kak Ros. Haha. Tak lah.

Cerita dimulakan dengan pasukan khas MI6 cuba mendapatkan satu virus digelarkan Snowflake dari sebuah gudang.

Namun operasi mereka digagalkan oleh sekumpulan penjahat yang diketuai oleh Brixton Lore (Idris Elba).

Brixton ialah seorang manusia yang telah diubahsuai secara genetik menjadi superhuman oleh sebuah organisasi rahsia bernama Eteon.

Salah seorang dari anggota MI6 itu, Hattie Shaw (Vanessa Kirby) bertindak melarikan diri dan menyuntik virus tersebut ke dalam badannya untuk menghalang dari jatuh ke tangan Brixton.

Namun dengan itu, Hattie hanya ada 72 jam sebelum virus itu membunuhnya dan merebak ke orang awam.  Hattie juga telah dituduh pembelot MI6 oleh Brixton.

the buff upin dan ipin (sumber Universal Pictures)

Luke Hobbs (Dwayne Johnson) dan Deckard Shaw (Jason Statham) kemudian ditugaskan untuk mendapatkan semula virus Snowflake itu.

Sejarah mereka dari filem Fast & Furious sebelum ini menyukarkan kerjasama di antara mereka, dengan Hobbs cuba menjalankan tugasnya sebagai ahli DSS dan Shaw cuba menyelamatkan Hattie yang juga merupakan adiknya.

Tugas mereka disukarkan lagi dengan Eteon yang mempunyai kuasa mengawal media dan menuduh mereka menyerang markas CIA menyebabkan mereka menjadi buruan semua agensi keselamatan dunia.

Plot dan penceritaan

Sebenarnya, tiada apa yang istimewa pun dari segi plot dan penceritaan. Sama seperti Fast & Furious yang lain, jalan cerita boleh tolak tepi dan hanya fokus dengan aksi sahaja.

Dan bercakap tentang aksi. Ini adalah filem Fast & Furious. Francais yang terkenal kerana sering menyajikan aksi demi aksi yang tak masuk akal.

Tapi itu lah sebabnya kami bayar tiket untuk filem ini dan kami sukakannya. Jangan bercakap pasal logik kalau bercakap mengenai Fast & Furious.

Siap ada babak Hobbs tarik helikopter pakai tangan macam Captain Amerika. WTH!

Hattie, Shaw dan Hobbs (sumber Universal Pictures)

Gandingan The Rock dan Jason Statham

Menggandingkan The Rock dan Jason Statham merupakan keputusan yang tepat. Mereka berjaya membawa cerita ini dengan chemistry mereka.

Terhibur kami apabila menonton mereka saling berbalah dan mengusik satu sama lain dengan kata-kata cacian yang kelakar.

Kami juga suka lakonan Vanessa Kirby. Wataknya tidak hanya menunggu untuk diselamatkan kerana Hattie merupakan anggota MI6 yang badass.

Filem aksi komedi

Perkara yang paling kami suka tentang filem arahan David Leitch ini ialah filem ini memang kelakar. Patut masuk dalam genre action comedy.

Dialog dan cara pembawaan watak Hobbs dan Shaw disebalik otot yang berketul-ketul membuatkan kami tak kering gusi.

Ditambahkan lagi dengan kemunculan dua orang cameo yang betul – betul menambah lagi gelak tawa dalam filem ini. Kami tak mahu beritahu siapa.

Anda kena tengok sendiri untuk tahu siapa mereka.

(sumber Universal Pictures)

Filem ini dimulakan dengan aksi tanpa henti tetapi mula perlahan bila tiba ke penghujung terutama bila mereka pergi ke Samoa untuk meminta bantuan keluarga Hobbs (ini bukan spoiler sebab ada dalam trailer).

Masih ada aksi tetapi agak slowdown dan aksinya kurang menyengat seperti awal filem. Salah satu contohnya iaitu ketika Hobbs menarik helikopter dipandu oleh Brixton (ini bukan spoiler juga sebab ada dalam trailer), babak ini agak meleret panjang.

I’m the black Superman (sumber Universal Pictures)

Brixton ialah villain yang menarik dari segi rupa namun tidak dari segi perwatakan. Tiada back story mengenai siapa Brixton ini. Kita tak tahu siapa dia ni secara mendalam.

Kita hanya tahu dia ni pernah bekerja bersama dengan Deckard Shaw sebelum dibunuh oleh Shaw sendiri dan dihidupkan semula oleh Eteon. Dan dialog Brixton agak sama sepanjang cerita, asyik bercakap tentang wawasan Eteon sahaja berulangkali.

Kewujudan Eteon juga tidak diceritakan secara mendalam organisasi ini tidak pernah disebut dalam filem Fast & Furious sebelum ini.

Organisasi misteri ini kekal misteri dari awal hingga akhir cerita.

Mindlessly fun movie!

Yang pasti akan ada sambungan untuk filem ini. Kami tak tahu apa hala tuju francais ini seterusnya lebih-lebih lagi selepas kemunculan watak seperti Brixton yang mempunyai superpower.

Namun kami sukakannya dan menanti filem seterusnya. It’s a mindlessly fun movie. Sesuai ditonton jika ingin relak dan tak serabut untuk fikir jalan cerita.

Filem ini mempunyai babak post-credit. Jadi anda dinasihatkan untuk terus duduk di kerusi hingga tamat credit.

Trailer Hobbs & Shaw

Tayangan di Malaysia: 31 Julai 2019

Arahan: David Leitch

Durasi: 136 minutes

Rating YOY: 7/10