[REVIEW] Ejen Ali The Movie (2019)

 

Ejen Ali The Movie memang mengagumkan. Sukar mencari kelemahan filem ini selepas kami menontonnya. Patutlah pihak produksi filem ini berani meletakkan tarikh tayangannya dekat dengan filem Frozen 2 (Frozen 2 ditayangkan seminggu awal). Filem ini memang boleh bersaing dengan filem animasi luar dan kami katakan ianya lebih bagus dari Frozen 2.

 

Bagi yang tidak pernah menonton siri Ejen Ali (korang tak perlu tonton siri ini untuk mengikuti filem ini tapi sarankan korang memang patut tengok), Ejen Ali mengisahkan seorang budak berumur 12 tahun bernama Ali yang secara tidak sengaja mengaktifkan sebuah gajet bernama I.R.I.S (Infinity Retinal Intelligent System), milik sebuah agensi rahsia bernama M.A.T.A (Meta Advance Tactical Agency). Hanya Ali yang boleh menggunakan I.R.I.S dan sejak dari itu, dengan bantuan pakciknya, Ejen Bakar yang merupakan ejen M.A.T.A dan seorang lagi ejen bernama Alicia, Ali diserap ke dalam agensi rahsia itu dan dilatih menjadi ejen.

Untuk filem ini pula, masih menyambung perjalanan Ali sebagai seorang ejen. Namun kini dia merasa kedudukannya di dalam M.A.T.A agak tergugat dengan kemunculan I.R.I.S yang telah dinaiktarafkan iaitu I.R.I.S Neo. Seluruh ejen M.A.T.A akan dilengkapi dengan I.R.I.S Neo yang menyebabkan Ali berasa tidak lagi diperlukan.

 

Pada suatu hari, semasa menjalankan tugas, Ali bertembung dengan satu lagi kumpulan yang diketuai oleh seorang wanita bernama Niki. Ali mengejar wanita misteri itu hingga membawanya ke luar bandar Cyberraya, sebuah kawasan yang digelar Pinggiran. Lebih mengejutkan bahawa Niki mendakwa mengetahui seseorang dari kisah silam Ali. Dari sini Ali mula mengikut kumpulan ini dan mempersoalkan kesetiaannya kepada M.A.T.A.

Kekuatan utama bagi filem ini bagi kami adalah plotnya. Untuk orang dewasa yang menonton filem ini, anda tidak akan terasa seperti menonton filem kanak-kanak langsung. Plotnya agak matang untuk kanak- kanak bawah umur tetapi masih boleh difahami mereka. Ada menyentuh serba sedikit mengenai politik dan unsur pembelotan. Terdapat juga beberapa plot twist yang menarik. Filem ini juga membawa beberapa mesej yang berguna kepada penonton. Sebuah filem untuk semua lapisan umur dan masyarakat.

 

Ejen Ali The Movie  mempunyai perjalanan cerita yang cukup baik dan disusun rapi. Korang akan tiada masa untuk menjadi bosan dan pasti akan menanti babak ke babak dengan penuh keterujaan. Filem ini padat dengan aksi dari mula hingga tamat. Tidak hanya aksi semata-mata, filem animasi ini juga mempunyai babak tidak kurang kelakar dan babak yang boleh menyentuh emosi penonton.

Watak Ali terutamanya dikembangkan dengan baik. Kami boleh lihat kematangan dan perkembangan Ali dari awal filem hingga ke penamat. Setiap karakter dalam filem ini juga adalah unik dan menambah nilai diversiti untuk filem ini.

 

Animasi 3D filem ini memang berkualiti. Mengalahkan Boboiboy 2 dan Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal. Korang boleh lihat kekemasan dan details setiap karakter yang mengagumkan. Setiap pergerakan kelihatan sempurna dan teliti. Korang boleh lihat terutamanya pada pergerakan rambut Ali yang seakan life-like. Kalau ada kekurangan pun, mungkin pada latar belakang seperti bangunan di bandar Cyberaya kelihatan sedikit plain tetapi ia tidak kelihatan mencacatkan langsung filem ini.

 

Ejen Ali The Movie melengkapkan tahun gemilang untuk industri animasi di Malaysia setelah kejayaan Boboiboy 2 dan Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal. Dan kami yakin kehebatan animasi negara kita tidak akan terhenti disini dan masa depan industri ini sememangnya cerah.

 

Sempena cuti sekolah ini, bawak anak korang menonton filem ini. Kalau tiada anak pun, pergilah tonton sorang – sorang. Filem yang sesuai untuk setiap peringkat umur.

 

P/S: filem ini ada mid dan end kredit scene. Jadi, jangan bangun dulu selepas filem tamat.

Tarikh Tayangan: 28 November 2019

Durasi: 97 minit

Rating YOY: 9.5/10