Resipi Sos Lada Hitam Tarik Ramai Pelanggan, Pemilik Kedai ‘Western’ Buktikan OKU Bukan Penghalang Untuk Berjaya

Rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk, dan kelainan pada diri kita bukannya suatu kekurangan untuk kita terus berjaya.

Iospital phone repair gombak

Sama seperti kisah seorang lelaki yang bernama Abdullah Affandi Md Yusop, 42, atau lebih mesra dikenali sebagai Onedha telah kehilangan kaki kanannya selepas terlibat dalam nahas kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, itu tidak menjadi halangan buat dirinya untuk bekerjaya sebagai seorang peniaga dan membuka sebuah kedai makanan barat iaitu Lempaqq Western Cafe Sayang di Penaga, Pulau Pinang.

Memetik laporan MStar, Onedha yang sudah pun berstatus orang kelainan upaya (OKU) sejak 25 tahun yang lalu menyatakan bahawa sebelumnya dia telah bekerja sebagai operator di syarikat Telekom Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Lalu Onedha membuat keputusan untuk berhenti keja dan sambung mencari rezeki di kampung perantauan Sungai Petani, Kedah.

“Dah lama saya kemalangan, dah 25 tahun. Waktu tu saya naik motor nak pergi beli makanan untuk adik-adik. Nasib tak baik, saya kemalangan dengan lori di Sungai Petani.

“Saya berniaga ni pula baru tiga bulan. Mula tahun lepas dan berniaga seorang saja sebab waktu tu tak ada pekerja lagi. Kalau tak silap dalam dua minggu juga saya uruskan kedai seorang diri.

“Alhamdulillah sekarang dah ada enam pekerja. Tiga pekerja tetap dan tiga lagi sambilan. Mereka ni banyak bantu bahagian hidang dan hantar makanan kepada pelanggan.

“Selepas berhenti kerja di Telekom tu, saya ada buka perkhidmatan mengandam… ramai juga pelanggan. Sekarang pun ada lagi solek pengantin tetapi dah kurang sikit sebab nak fokus lebih kepada kedai makan saya,” katanya.

Difahamkan, Onedha meluahkan rasa syukur kerana keluarganya banyak memberikan dorongan dan sokongan kepadanya untuk berniaga terutama sekali kakaknya yang telah memberikan kebenaran menjadikan rumah kosongnya sebagai kedai makan.

Bukan itu sahaja, Onedha turut berkongsikan resepi sos lada hitam yang dicecah bersama ayam panggang, stik kambing dan stik daging menjadi pilihan orang ramai sehingga ke hari ini.

Dia juga berasa tidak sangka bahawa setiap hari hampir 350 pinggan makanan berjaya dijual dan menganggap bahawa semua ini merupakan rezeki daripada Allah SWT.

“Kakak yang tawarkan untuk buka kedai sebab adik beradik selalu puji ayam barbeku yang saya buat tu sedap. Kebetulan kakak ada rumah tinggal kosong, jadi dia suruh saya buka kedai dekat sana.

“Selain adik beradik, mak ialah orang yang paling banyak bagi sokongan dari awal nak mula berniaga. Walaupun modal saya yang keluarkan sendiri, tetapi mereka banyak beri sokongan.

“Rasanya dah 20 tahun saya guna resepi sos lada hitam tu. Sebelum ni selalu buat untuk makan keluarga sahaja dan sekarang baru untuk berniaga.

“Alhamdulillah purata sehari dalam 350 pinggan. Menu makanan di kedai saya iaitu stik kambing, stik daging, ayam panggang dan spageti kuah campur. Pelanggan yang datang pun dari jauh seperti Melaka, Johor, Perak dan Kuala Lumpur,” jelasnya.

Sementara itu, Onedha turut berkongsikan bahawa dia pernah dijemput oleh seorang ahli perniagaan yang bergelar Datin Seri untuk memasakkan menu ayam panggang, kambing panggang dan stik di rumah persinggahannya di Pulau Pinang.

Terang Onedha, dia berasa lebih bersemangat dan bersedia jika menerima sebarang jemputan daripada orang lain selepas menerima pujian oleh individu tersebut.

“Datin Seri jemput saya untuk masak di rumah singgah dia di Pulau Pinang. Dia dari Shah Alam dan balik Pulau Pinang untuk bercuti. Dia jumpa saya di Facebook.

“Alhamdulillah dia cakap puas hati dan kalau ada rezeki dia nak minta saya untuk masak lagi makanan barat di rumahnya,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Onedha sempat meninggalkan pesan kepada golongan yang mengalami nasib yang sama sepertinya untuk terus cekal dan kuat dalam mencari rezeki.


“Jangan patah semangat walaupun dah jadi OKU. Sebab hidup ni sekali sahaja. Jadi teruskan usaha dalam mencari rezeki.

“Selagi ada kudrat, selagi itulah kena berusaha. Jangan harapkan bantuan orang lain. Kena rajin cari rezeki,” katanya.