Remaja 15 Tahun Hilang Sejak Isnin Ditemui Belakang Rumah Kosong, Ini Cerita Kakak

Kisah kehilangan seorang pelajar tingkatan tiga, Nor Aleeya Natasha Mohd Nazre yang dilaporkan hilang sejak hari Isnin lalu menjadi viral di media sosial hari ini. Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, remaja tersebut berjaya ditemui di belakang sebuah rumah kosong di kawasan perumahan mereka di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di Sungai Petani, Kedah. Menurut kakak Nor Aleya [...]

Beberapa hari lepas media melaporkan tentang kehilangan seorang pelajar tingkatan tiga, Nor Aleeya Natasha Mohd Nazre sejak hari Isnin yang lepas.

Pelajar yang baru berusia 15 tahun itu dikatakan keluar seorang diri ke kedai runcit berkenaan dengan menaiki motosikal milik kakaknya kira-kira 6.30 petang, 6 April lalu.

Kakaknya, Siti Nazira, 23, berkata, Nor Aleeya keluar dari rumah tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya ditemani anak kucing miliknya.

“Petang Isnin lalu, adik hanya beritahu emak hendak keluar membeli paracetamol dan emak suruh dia keluar cepat kerana bimbang kedai tutup.”

Menerusi laporan Harian Metro, remaja tersebut akhirnya berjaya ditemui di belakang sebuah rumah kosong di kawasan perumahan mereka di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di Sungai Petani, Kedah.

Siti Nazira memberitahu adiknya ditemui oleh penduduk bersama sekumpulan individu pada pukul 3 petang hari ini.

Menurutnya, seorang wanita telah memaklumkan kepadanya bahawa adiknya itu ada di belakang rumah kosong berkenaan.

Nazira dan keluarga terus menuju ke lokasi kejadian.

“Saya dan keluarga bergegas ke tempat berkenaan, dan ketika kami tiba, lelaki berkenaan melarikan diri.

“Kami segera membawa Natasha ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk memaklumkan penemuannya.”

Nazira memberitahu adiknya sudah dikurung beberapa hari sebelum dibawa keluar oleh beberapa lelaki.

“Setakat ini, Natasha hanya mengatakan dia dikurung di dalam rumah kosong itu sebelum dibawa keluar oleh beberapa lelaki tengah hari tadi.”

Walau bagaimanapun, Nazira sekeluarga bersyukur adiknya ditemui selamat.

“Apa pun kami bersyukur dia dapat ditemui dengan selamat. Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.”

Sejurus berjaya menjumpai Natasha, Nazira memberitahu bahawa mereka telah membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, Natasha tidak pulang setelah keluar ke kedai runcit dan hanya motosikalnya dijumpai di kawasan kebun sawit.

Menurut Nazira,  terdapat saksi yang mengatakan terdengar suara jeritan di lokasi motosikal berkenaan ditemui pada malam kejadian adiknya dilaporkan hilang.