Rakyat Kelantan Lebih Bahagia Berbanding Selangor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah Luah Rasa Puas Hati

Bagi mengukur tahap kebahagiaan rakyat di sesebuah negeri, Indeks Kebahagian Rakyat Malaysia (MHI) diwujudkan dan tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 – 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01- 4.00 tidak bahagia; 4.01- 6.00 sederhana bahagia; 6.01 – 8.00 bahagia dan 8.01 – 10.00 sangat bahagia.

Berdasarkan laporan MHI 2021 yang dikeluarkan, kedudukan Kelantan sebagai negeri kelima dalam senarai membuktikan negeri tersebut memiliki rakyat yang bahagia dan berpuas hati dengan kehidupan mereka.

Manakan tidak, Negeri tersebut meraih markah 7.0 dan jauh meninggalkan Selangor sekaligus menarik perhatian Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, walaupun Kelantan seringkali dikaitkan dengan pelbagai isu dan masalah seperti didakwa pelbagai pihak, statistik Jabatan Perangkaan itu membuktikan sebaliknya, rakyat di negeri serambi Mekah ini gembira.

“Kelantan termasuk antara negeri yang bahagia. Bahagia ini bermaksud rakyat puas hati, rakyat senang hati walaupun adalah masalah. Maka sebab itu kita masuk dalam indeks bahagia.”

“Itu yang penting. Dan kita berada pada landasan yang betul. Apa yang kita buat, program kita, boleh memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

“Kita dapat skor 7.0 berbanding Selangor mendapat markah 5.0 iaitu jauh berbeza memandangkan negeri itu kaya, hasil bumi banyak, namun rakyatnya tidak bahagia,” katanya.


Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, MHI 2021 itu dibuat berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

Bagaimana pun, Mohd Amar sempat menitipkan pesan jika ada pihak yang mendesak mahu menukar pentadbiran negeri tersebut, perlulah rakyat Kelantan berfikir dengan baik dan bukanlah mengikut perasaan semata-mata.

“Ia banyak aspek penilaiannya, seperti kehidupan, suasana dan sebagainya. Sebab itu nombor satu Labuan, dan sebagainya, dan kita (Kelantan) selepas Terengganu” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Pas mentadbir Kelantan selama lebih 30 tahun selepas memenangi pilihan raya umum pada 1990 sewaktu bersama gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (Apu).