Warga Asing Jual Keputusan Palsu Saringan Covid-19 Berharga RM50

Bermula 18 Mac lalu sehingga hari ini kita masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Selain itu, satu berita mengenai satu sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 untuk warga asing berjaya ditumpaskan anggota polis.

Sindiket pemalsuan keputusan ujian saringan Covid-19

Menerusi satu serbuan Ops Pemalsuan Keputusan Ujian Saringan Covid-19 jam 5.40 petang semalam di Jalan Alor, Kuala Lumpur, dua lelaki warga Bangladesh berjaya diberkas.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati sindiket beroperasi di kaunter kaki lima kedai di Jalan Alor.

“Kaunter itu sudah beroperasi antara satu hingga dua minggu dengan setiap satu dokumen keputusan negatif ujian saringan Covid-19 dikenakan bayaran RM50”.

Sasaran pelanggan terdiri daripada warga asing

“Polis mendapati kadar sewaan tapak adalah RM600 sebulan. Premis beroperasi setiap hari bermula 12 tengah hari sehingga 9 malam”.

“Seorang penjaga akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba ketika berurusan dengan pelanggan.

“Sasaran pelanggan dipercayai terdiri daripada warga asing”.

Dua susperk berjaya diberkas 

“Dua suspek diberkas di kedua-dua premis diserbu itu didapati bekerja dengan dua lelaki tempatan dan anggaran gaji RM1,500 dan RM1,700 sebulan,” lapor Harian Metro.

Menurut beliau lagi, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

Turut dirampas dua helai keputusan ujian saringan Covid-19 palsu

“Polis turut merampas pelbagai barang antaranya dua unit komputer riba, tiga unit mesin pencetak, dua unit mesin laminator dan dua helai kertas keputusan ujian saringan Covid-19.

“Selain itu turut dirampas, sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang terdapat cetakan laporan ujian saringan Covid-19 yang disyaki palsu”.

“Sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang kosong dan wang tunai RM1,331”.

Tindakan tegas akan dikenakan 

“Polis memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Ujar beliau lagi, sikap tidak bertanggungjawab beberapa pihak dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini hanyalah membahayakan orang ramai.

Tolong hubungi pihak berkuasa jika ada sebarang maklumat

Tindakan premis ini juga akan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana-mana polis berdekatan.

Semoga kita semua memberi kerjasama dan sokongan kepada pihak berkuasa dan kerajaan dalam membendung penularan wabak ini.