PM ASEAN Pertama Berucap di Oxford, Tun M ‘Sekolahkan’ Pelajar Oxford Tentang Isu Air Singapura

Tun Dr Mahathir Mohamad telah diberi penghormatan untuk menjadi pemimpin ASEAN pertama yang dijemput berucap di Kesatuan Oxford pada hari Jumaat.

Tun Mahathir memberikan ucapan yang mengangkat tema demokrasi sebelum sesi soal jawab yang mengambil masa hampir satu setengah jam.

Dr Mahathir telah menjawab pelbagai isu dan tidak kurang juga berdebat dengan beberapa individu di dalam sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Presiden Kesatuan Oxford, Daniel Wilkinson itu.

Dalam video yang dikongsikan oleh Star TV ini, dapat dilihat pelbagai perkara dibincangkan antara Tun Mahathir dan Daniel Wilkinson, Presiden Kesatuan Oxford.

Namun satu perkara yang menarik perhatian adalah apabila ada pelajar yang menyertai perbincangan ini bertanyakan pada Tun Mahathir tentang isu air Singapura dan beberapa masalah diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

Pelajar berkenaan dilihat mahu menuding jari terhadap Malaysia yang dikatakan mahu menekan Singapura dalam isu air.

Walaubagaimanapun, Tun M tenang menjawab setiap soalan yang ditanya oleh pelajar berkenaan. Tun M menjawab, sejak 1926, Singapura hanya membayar 1 sen Singapura (3 sen Malaysia) untuk setiap 1,000 gallon air (3,785 liter) yang diberi kepada Singapura.

Pelajar berkenaan terdiam apabila ditanya kembali oleh Tun M adakah masih relevan untuk membeli air sebanyak itu dengan harga yang sama sejak 1926? Terus ke minit 26:00 untuk mendengar penerangan Tun Mahathir berkenaan isu air ini.

Kami nasihatkan anda semua, kalau belum penuh ilmu di dada jangan main-main dengan Tun M. Walaupun umur sudah menghampiri satu abad, Tun M ingat semua perkara yang berlaku di Malaysia di bawah pemerintahannya.

Untuk rekod, Tun Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat di mana beliau memegang jawatan selama 22 tahun (1981-2003) menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat.

Di dalam buku A Doctor in the House, Tun Mahathir menyatakan tarikh lahir sebenarnya ialah 10 Julai 1925, tetapi bapanya mendaftarkan tarikh lahir dalam sijil kelahiran sebagai 20 Disember untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan.

Tun M menggunakan nama timangannya sendiri, “Che Det” sebagai nama pena, beliau banyak menulis dengan artikel pertamanya disiarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura pada 20 Julai, 1947 bertajuk “Malay Women Make Their Own Freedom” (Wanita Melayu Mencipta Kebebasan Sendiri).

Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, Tun M berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan daripada kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara ‘Harimau Ekonomi Asia’.