Pertama Kali Bawa Motor, Zahirah MacWilson Akui Tak Mudah Pegang Watak ‘Aina Cempaka’

Pelakon jelita, Zahirah Macwilson atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson ini cukup dikenali dengan kecantikan dan bakat lakonan yang dimilikinya.

Bukan itu sahaja, dia juga meraih perhatian ramai apabila membintangi beberapa drama popular seperti Mencintaimu, Cik Cinderella dan Encik Tengku, Duda Pujaan Dara, Tak Ada Cinta Sepertimu dan Jangan Benci Cintaku.

Iospital phone repair gombak

Terbaharu, pelakon berusia 27 tahun ini mendedahkan demi menjayakan watak menerusi drama ‘Tiada Maaf Buatmu’ ini dia telah menyahut cabaran untuk menunggang motosikal buat kali pertama dalam hidupnya.

Memetik sumber, Zahirah memberitahu dia terpaksa memberanikan diri dan belajar ‘on the spot’ sebelum penggambaran tanpa pergi ke kelas khas.

 

“Perkara yang saya tak pernah buat adalah menunggang motosikal dan pertama kali berbuat demikian menerusi drama Tiada Maaf Buatmu…tetapi demi menjayakan babak berkenaan, saya memberanikan diri dan belajar on the spot di set penggambaran tanpa pergi ke kelas khas untuk belajar menunggang motosikal…”

“Saya memang tiada lesen motosikal dan tidak berhasrat untuk mendapatkannya kerana merasakan tiada keperluan berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza ini mengatakan dia mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan watak Aina Cempaka kerana mempunyai personaliti sebagai seorang ‘tomboy’ yang tidak pernah dibawakan sepanjang kariernya.

Namun perkara itu bukanlah satu halangan untuk dirinya walaupun tidak mudah menzahirkan sifat kelakian tersebut.

“Memang saya ambil masa hendak sesuaikan diri dengan watak sebagai Aina Cempaka kerana tak mudah untuk nampak semula jadi perwatakan tomboy. Tetapi saya suka kerana ia satu kelainan dan saya ada juga merujuk kepada rakan-rakan yang mempunyai sifat sama bagi menjayakan peranan dalam drama ini…” ujarnya lagi.


Selain daripada itu, Zahirah menyifatkan watak yang dipegangnya ini sangat susah kerana peranan Aina Cempaka adalah seorang wanita yang mengalami trauma dan tidak pernah mengalami situasi berkenaan namun berkat pertolongan pengarah dia berjaya melakukannya dengan baik.

“Sejujurnya sangat susah nak bawa watak seorang wanita yang sedang trauma kerana saya tiada pengalaman sebegitu atau mengenali sesiapa yang pernah berada dalam situasi tersebut. Bukan senang nak bawa watak tersebut tetapi saya banyak rujuk pengarah untuk beri yang terbaik kepada watak yang diberikan…”

“Alhamdulillah saya berjaya membawa watak itu dengan baik tetapi tidak sampai terbawa-bawa sampai ke rumah,” tambahnya lagi.