Perokok Degil Disaman KKM, Netizen Puas Hati

Bermula 1 Januari 2020, penguatkuasaan saman terhadap kesalahan merokok di premis menjual makanan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Jika ada individu yang tidak mengikuti peraturan tersebut, mereka boleh disaman dan dikenakan denda.

Namun begitu, masih ada yang degil dan ingkar dengan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan pada hari pertama penguatkuasaan.

Menurut laporan Astro Awani, menerusi operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) yang dijalankan di beberapa negeri, masih ramai yang berdegil dengan memberi alasan tidak tahu mengenai larangan tersebut, walaupun penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan telah dijalankan.

Bagi mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Di Kuala Lumpur sahaja, empat notis kompaun dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan di tiga lokasi bermula kira-kira 11.30 pagi semalam.

Di negeri Pahang pula, sebanyak 51 individu menjadi kumpulan pertama dikenakan kompaun kerana ingkar larangan tidak merokok dalam premis makanan di seluruh negeri itu.

Di Negeri Sembilan, 95 orang pegawai penguat kuasa dari tujuh Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negeri itu merekodkan 42 notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 379 premis makanan.

Manakala di negeri Perak, lima premis makanan di sekitar Jelapang, Ipoh diperiksa dalam operasi selama dua jam bermula 10 pagi membabitkan 16 kakitangan Pejabat Kesihatan daerah Kinta.

Menerusi Facebook Sukan Star TV, beberapa foto memaparkan orang awam yang didakwa melanggar peraturan tersebut dan dikenakan saman oleh penguatkuasa.

 

 

Rata-rata netizen berpuas hati dengan tindakan yang diambil terhadap perokok yang ingkar dengan peraturan baru ini.