Pernah Digigit Labah-labah Masa Kecil, Spiderman Perlis Jual Teh Ais

Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa pandemik Covid-19 ini, pelbagai usaha yang dilakukan oleh semua orang terutamanya yang baru saja kehilangan kerja.

Ada yang berniaga dan ramai juga yang membuat servis penghantaran makanan.

Spiderman jual teh ais

Namun, berbeza dengan seorang lelaki ini yang membuat kelainan dengan memakai kostum superhero terkenal Spiderman semasa berniaga.

Apa yang lebih menarik adalah produk yang dijualnya adalah teh ais!

Menerusi laporan Bernama, lelaki berusia 40 tahun ini yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Spiderman Perlis’ berkata dia mengambil keputusan menjual teh ais di Jalan Raja Syed Alwi di sini bagi menampung kehidupannya sekeluarga.

Katanya dia bernasib baik kerana mempunyai majikan yang prihatin sanggup meminjamkan wang bagi memulakan perniagaan.

“Ramai yang terkesan akibat COVID-19 termasuk saya, namun saya bernasib baik mempunyai majikan yang sanggup meminjamkan sedikit wang, bagi memulakan perniagaan ini.

“Kalau harap duit sendiri saya menang tidak mampu,”

Ramai ajak selfie

Spiderman Perlis berkongsi kegembiraan apabila hari pertama dia menjual teh ais dan sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila ramai mengambil peluang untuk selfie bersama.

Baginya, apabila pelanggan bergambar dan dimuatnaik di laman sosial memberikan pemasaran percuma buat perniagaannya.

Pernah disengat

Spiderman Perlis turut mengakui sejarahnya pernah digigit labah-labah semasa kecil yang membuatkannya memilih watak itu sebagai kostum.

“Saya pilih watak spiderman kerana dahulu masa kecil pernah disengat oleh labah-labah,” katanya.

Katanya dia mempunyai alasan sendiri untuk merahsiakan identitinya daripada pengetahuan orang ramai.

“Lebih baik orang ramai kenali saya sebagai ‘Spiderman Perlis’ kerana ia lebih dekat hati peminat ‘Avengers’ (kumpulan adiwira yang dianggotai Spiderman),” katanya sambil melakukan beberapa aksi watak adiwira itu.

Rata-rata pelanggan amat terhibur dengan aksinya yang berlainan daripada peniaga yang lain.

Video Spiderman Perlis jual teh ais