Pergi Sesi Pemilihan Bola Sepak Pakai Kasut Getah, Murid Bakat Luar Biasa Lap Air mata Setelah Diberi Kasut Baru

Tidak semua insan di atas muka bumi ini terlahir dalam keluarga yang senang bahkan ada juga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Iospital phone repair gombak
Namun, hidup perlu diteruskan bahkan ramai yang membuktikan bahawa itu bukan penghalang untuk mereka mengejar cita-cita seperti cemerlang dalam pelajaran atau mendapat tempat terbaik dalam sukan.

Sama seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang budak lelaki yang dikenali sebagai Hafiz, 12, memakai kasut getah berharga RM9 ketika sesi pemilihan pemain bola sepak yang diadakan di Kampung Marais, Tenom, Sabah mencuri perhatian ramai.

Lebih sayu, rakan-rakan yang lain kelihatan segak memakai but bola sepak manakala Hafiz tetap bersemangat menampilkan prestasi terbaik biarpun dirinya serba kekurangan.

Memetik laporan mStar, kanak-kanak berbakat besar itu diceritakan oleh aktivis kebajikan Sabah, Adrian Edy yang turut bertemu dengannya untuk menyampaikan bantuan.

“Kisah mengenai Hafiz dah viral di Facebook. Viral kerana sekeping gambar yang memaparkan dia pakai kasut getah warna hitam, kasut yang biasa dipakai oleh penoreh getah.”

“Dia pakai kasut getah itu ketika pemilihan bola. Pada pemilihan itu, semua kawan yang lain pakai kasut bola. Sebab tu gambarnya viral, ramai yang tumpang simpati dengan nasib Hafiz.”


“Rupa-rupanya keluarga dia susah. Ayah dia penoreh getah. Dia beli kasut tu RM9 saja. Walaupun pakai kasut getah, Hafiz berjaya melepasi pemilihan itu. Sampai coach pun berdiri tengok bakatnya.”

“Saya difahamkan pemilihan di Tenom itu merupakan fasa sebelum dia pergi ke pemilihan terakhir di Johor nanti. Jika lepas pemilihan di Johor, dia akan diterima ke Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT),” ujarnya

Dalam pertemuan tersebut, Edy bukan sahaja menyerahkan dua pasang but bola sepak baharu buat Hafiz, malah turut menghadiahkannya jersi yang ditempah khas buatnya.

“Masa jumpa dia memang malu-malu. Saya hadiahkan Hafiz dua pasang kasut bola baharu. Selain itu, saya juga ada bagi bola, selipar, kasut joging dan beg. Saya juga akan bantu dia untuk pergi ke Johor.”

“Masa saya bagi kasut, dia terdiam. Dia kata selalu nampak but bola tu orang pakai dalam TV. Dia gembira bila dapat tengok depan mata. Saya juga hadiahkan jersi yang ditempah khas, ada nama dia dengan nombor tujuh, kebetulan dia minat Cristiano Ronaldo,” ujar Edy.

“Rupa-rupanya dia menangis. Masa jumpa tu tak perasan. Selepas dah balik, masa edit video baru nampak yang Hafiz lap air mata dia.”



“Saya tanya Hafiz tentang impiannya. Hafiz kata dia nak jadi pemain bola sepak, dia nak ubah nasib keluarga. Dia tahu keluarganya susah, papa dia pun hanya mampu beli kasut getah je.”

“Saya difahamkan Hafiz juga ada kakak Orang Kelainan Upaya (OKU). Dia berazam nak jadi pemain bola berjaya untuk bawa keluarga keluar dari kepompong kemiskinan,” ujar Edy lagi.

Di akhir bicara, Edy yang turut meminati sukan bola sepak menzahirkan harapan untuk melihat Hafiz terbang jauh dalam bidang sukan, sekali gus dapat mengharumkan nama negara suatu hari nanti.

“Bagi saya, kisah Hafiz ni sangat memberi inspirasi, khusunya untuk anak-anak di negeri Sabah. Saya berharap dia dapat pergi jauh dan berjaya dalam kerjaya yang diceburi.

“Dia pun ada berjanji dengan saya, dia nak berusaha sebaik mungkin kejar cita-citanya. Ini bagi saya antara detik paling sedih sepanjang saya terlibat dalam kerja-kerja kebajikan,” ujar Edy lagi.

Video yang tular di laman TikTok:

@adrianedy7 Hadiahkan kasut bola buat adik Hafiz yang viral, ayah Hafiz tidak mampu belikan dia kasut bola dan hanya mampu belikan kasut getah RM9 untuk dia pergi pemilihan bolasepak, mengalir air mata Hafiz apabila dapat kasut baru , hadiahkan dia juga kelengkapan bolasepak lain 🥺 #fyp #adrianedy ♬ Memori Tercipta – L3K