Pengusaha Taska Menangis Didenda RM7000, Kanak-Kanak 2 Tahun Ditampar Hingga Bengkak

Kes penderaan kanak-kanak merupakan salah satu isu yang patut diambil serius oleh semua pihak. Hal ini demikian kerana terdapat kenaikan kes direkodkan tahun demi tahun.

Seperti isu yang baru sahaja dilaporkan pada hari ini, pengasuh taska menampar seorang budak perempuan hingga bengkak didenda oleh Mahkamah Sesyen sebanyak RM 7,000.

Memetik laporan Kosmo, kes kanak-kanak perempuan yang berusia dua tahun ini terjadi pada bulan Jun yang lepas tetapi keputusan mahkamah dikeluarkan pada hari ini.

Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid telah menjatuhkan denda itu terhadap yang tertuduh, Azlinawaty Julaihi, 41, yang merupakan penguasaha taska terbabit apabila dia mengaku akan kesalahan yang telah dilakukan olehnya.

Dia mengaku bersalah menampar kanak-kanak berkenaan beberapa kali sehingga bengkak di kedua belah bahagian mata dan lebam di bahagian kanan tulang pipi di taska yang juga miliknya di Jalan Dato’ Senu, pada jam 12:30 tengah hari, 15 Jun lalu.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap Azlinawaty ialah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Melalui pertuduhan tersebut juga, mahkamah memerintahkan agar tertuduh membayar denda sebanyak RM 7,000.

Jika gagal, dia perlu menjalani hukuman penjara lima bulan.

Walau bagaimanapun, dia mampu membayar denda tersebut.

Sewaktu perbicaraan dan sebelum dijatuhkan hukuman, Hakim Emelia berkata dalam mahkamahnya bahawa mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang berbentuk satu pengajaran kepada tertuduh agar ia mampu menjadi pengajaran buat pengasuh lain supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.

Tertuduh, Azlinawaty tidak diwakili oleh mana-mana peguam merayu agar diberikan hukuman ringan.

Dengan alasan yang diberikan olehnya, bahawa dia tidak sengaja dan tidak berniat untuk mencederakan mangsa, turut merasa kesal atas perbuatan yang telah dilakukan terhadap anak kecil yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya itu.

“Selama tujuh tahun sebagai pengasas dan pengasuh di taska rumah, perkara ini tidak pernah berlaku dan saya mula mengasuh kerana minat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Saya minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi,” luah Azlinawaty dengan sebak.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub juga menyatakan bahawa hukuman berbentuk pengajaran perlu diberikan kepada tertuduh kerana mangsa merupakan seorang kanak-kanak yang hanya berusia dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa (pengadu) melihat bibir anaknya dan mendapati terdapat kesan lebam pada kedua-dua mata, tulang pipi merah dan bengkak di atas bibir selepas menjemput mangsa pulang daripada taska tersebut.

Sejurus itu, pengadu terus menyoal tertuduh mengenai kecederaan yang ditimpa anaknya itu.

Namun apa yang hanya dijawab oleh si tertuduh, mangsa terhantuk dengan anak asuhan lain ketika bermain walhal akhirnya dia mengaku menampar mangsa.

Menurut siasatan polis, tertuduh telah menampar mangsa beberapa kali kerana mangsa meluahkan makanan ketika disuap sewaktu makan.

Hasil pemeriksaan rawatan pula menemukan kesan bahawa kecederaan mangsa akibat dipukul, bukan kemalangan kecil seperti yang diceritakan oleh si tertuduh pada awalnya.