Penggunaan Beg Plastik Masih Berleluasa, Selangor Bakal Teliti Polisi Caj Kutipan Mungkin akan Ditingkatkan

Seperti yang kita tahu, penggunaan beg plastik di kebanyakan kedai kebiasaannya akan dikenakan caj sebanyak 20 sen. Hal tersebut dilakukan sebagai salah satu inisiatif bagi mengurangkan penggunaan beg plastik demi pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Iospital phone repair gombak

Berdasarkan laporan Harian Metro, kutipan sebanyak RM 20 juta telah direkodkan oleh Kerajaan negeri Selangor mengenai caj beg plastik 20 sen sejak tahun 2020 hingga Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian menyatakan bahawa kurangnya penguatkuasaan susulan pandemik Covid-19 menjadi punca kutipan tinggi itu direkodkan.

“Saya mengaku, ia adalah masalah daripada segi penguatkuasaan terutamanya semasa pandemik yang mana kita beli kelonggaran kepada peniaga berikutan pendapatan serta perniagaan mereka tidak begitu bagus.

“Kita tidak mahu menyusahkan mereka. Justeru, penguatkuasaan kurang dijalankan dalam tempoh berkenaan,” jelas beliau.

Beliau turut menjawab soalan tambahan yang dikemukan oleh Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mengenai tindakan kerajaan terhadap isu penggunaan plastik yang semakin berleluasa.

Loy Sian menjawab persoalan tersebut dengan menjelaskan bahawa penguatkuasaan secara besar-besaran akan dilaksanakan bermula pada tahun hadapan dimana tindakan seperti menarik balik lesen premis perniagaan mungkin diambil.

Menerusi kenyataan beliau, pihaknya telah banyak memberikan kelonggaran kepada peniaga menggunakan beg plastik khususnya ketika membungkus makanan.

Difahamkan, polisi caj kutipan beg plastik akan diteliti semula oleh kerajaan Selangor sama ada akan ditingkatkan harganya serta pelaksanaan hari tanpa plastik pada tahun hadapan.

Hal ini disebabkan walaupun kempen kutipan caj beg plastik telah dilaksanakan sejak 2017, peningkatan penggunaan beg plastik masih berlaku di Selangor.

“Kita juga mungkin akan mencadangkan untuk menaikkan caj kutipan atau mengadakan hari tanpa beg plastik yang mana tiada penjualan plastik dengan caj 20 sen dibenarkan,” terangnya.

Dalam pada itu, Loy Sian turut menjawab soalan soalan Gunarajah George (PH-Sentosa) yang bertanya mengenai pembuangan sisa industri di tebing sungai.

Loy Sian menyatakan bahawa kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) akan mengambil beberapa tindakan susulan ekoran kejadian pembuangan sisa industri di tebing-tebing sungai daripada berulang.

“Dianggarkan, dua juta metrik tan buangan terjadual dijana daripada industri-industri di Selangor,” kata beliau.


Loy Sian menyatakan bahawa kerajaan negeri melalui Luas turut sedang menggerakkan inisiatif dasar ‘Polluters Pay Principle’ (PPP) dan ‘Zero Discharge Policy’ (ZDP).

Polisi tersebut merupakan pendekatan bagi meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar.

“Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya.

“Ia seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik atau teknologi hijau seperti kitar semula efluen.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menjalankan penguatkuasaan secara bersasar, pemantauan 24 jam dan memantau tebing-tebing menggunakan dron,” tambah beliau lagi.