4 Pelajar Ditahan, Bergaduh Gara2 Perselisihan Faham Lempar Duit Ketika Beli Makanan Di Kantin

Kes pergaduhan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah banyak memberikan impak buruk terhadap imej negara, sekolah, mahupun imej pelajar yang terlibat sekali.

Iospital phone repair gombak

Oleh itu, pihak yang berwajib haruslah memainkan peranan dalam memastikan agar kes pergaduhan antara pelajar sekolah ini dapat diatasi demi kepentingan masa akan datang.

Baru-baru ini, berlakunya satu kes pergaduhan dikatakan berpunca akibat perselisihan faham melemparkan duit ketika membeli minuman di kantin semasa waktu rehat, lapor Bernama.

Difahamkan, kes pergaduhan itu telah menyebabkan dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Kajang cedera pada hari semalam.

Ekoran kejadian itu, empat remaja lelaki berumur lingkungan 15 hingga 16 tahun telah ditahan pada pukul 8.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan menyatakan bahawa pihak polis juga telah mengesan kejadian ini selepas video rakaman pergaduhan tersebut telah tular di laman media sosial semalam dan dikatakan pergaduhan itu berlaku di dua lokasi yang berlainan berhampiran dengan sebuah sekolah.

Menurut Mohd Zaid, pihak polis telah menerima laporan kes tersebut pada hari semalam daripada seorang pelajar berusia 16 tahun yang memaklumkan bahawa dirinya dan seorang lagi rakannya telah dipukul oleh sekumpulan pelajar sekolah.

“Punca kejadian disebabkan rentetan perselisihan faham di dalam sekolah (pada Rabu lepas) apabila pengadu telah salah faham dengan rakan suspek kerana disyaki melemparkan duit semasa membeli minuman di kantin pada waktu rehat,” jelas Mohd Zaid.

Katanya, perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak telah bertumbuk kerana tidak berpuas hati.

Suspek pula bertindak meminta bantuan daripada rakan-rakan daripada sekolah lain untuk membalas dendam terhadap mangsa itu.

“Pemeriksaan ke atas pengadu dan mangsa mendapati kedua-duanya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan badan. Kesemua tangkapan merupakan remaja bawah umur yang bersekolah di sekolah yang sama dengan pengadu.

“Polis akan memohon reman kesemua suspek di Mahkamah Bandar Baru Bangi hari ini. Pihak polis juga masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan,” terangnya lagi.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sekadar info, jika terdapat saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat terhadap kes ini boleh anda hubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Insp K. Suresh menerusi talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.