Lelaki Direman 6 Hari, Cuba Samun Kedai Emas Guna Pistol Mainan

Kes jenayah semakin meningkat tahun demi tahun. Oleh hal demikian, pihak berkuasa dan pihak yang berkaitan haruslah memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi kes jenayah ini daripada terus berlaku.

Iospital phone repair gombak

Baru-baru ini, terjadi satu kes samun kedai emas yang terletak di Jalan Sultan Iskandar pada hari semalam.

Walau bagaimanapun, apa yang mengejutkan orang ramai ialah suspek menggunakan pistol mainan ketika dalam cubaan menyamun kedai emas tersebut.

Menerusi laporan Kosmo, suspek telah pun ditahan dan direman selama enam hari bermula pada hari ini.

Suspek yang berasal daripada Negeri Sembilan itu pada awalnya memulakan langkah dengan masuk ke kedai emas itu kononnya untuk membeli seutas rantai pada jam 2 petang, lapor Sinar Harian.

Setelah melihat sahaja rantai itu, suspek terus mengambil rantai itu sambil mengacukan senjata berupa pistol sebelum bertindak melarikan diri demi menyelamatkan dirinya sendiri.

Namun begitu, suspek akhirnya tumpas apabila berjaya ditahan selepas dikejar oleh orang awam dan kes dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit.

Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak.

Suspek dikatakan turut mengalami kecederaan patah tangan kiri dipercayai terjatuh ketika cuba melarikan dirinya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menyatakan bahawa siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan negatif dadah.

Menurut Yahaya Hassan, suspek yang juga merupakan bekas pemandu lori itu didapati pertama kali melakukan jenayah samun.

“Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun menggunakan senjata.

“Sebaik sahaja siasatan lengkap, kita akan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan,” jelas Yahaya Hassan ketika dihubungi.

Telah ditemukan sepucuk pistol mainan plastik dalam beg silang lelaki tersebut setelah tangkapan terhadap suspek dibuat dalam tempoh 30 minit selepas kejadian samun itu.

Kes difahamkan akan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata.