“Timbullah sayang..” Inai Masih Merah di Jari, Baru Nikah Seminggu Suami Dipercayai Lemas di Tasik Kenyir

Baru sahaja melangsungkan perkahwinan seminggu yang lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Ami Azzizol Abu Bakri,22, dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir, dua hari yang lalu.

Menurut abang sulongnya, Amir Amizi,33,  adik lelaki bongsunya bernikah dengan Syarifah di Pejabat Agama Islam Daerah Dungun pada 21 Mac lalu sebelum diraikan pada majlis sambut menantu pada hari yang sama.

Menerusi laporan Kosmo, Ami Azzizol dan isteri bercuti ke Tasik Kenyir bagi meraikan perkahwinan mereka bersama keluarga mentuanya yang menetap di Rasau, Dungun, semalam.

“Saya difahamkan mereka sampai di rumah rakit yang menjadi tempat penginapan pada pukul 1 tengah hari semalam sebelum dijadual pulang pada hari ini.

“Tahu-tahu saya dimaklumkan dengan kejadian lemas yang menimpa adik bongsu saya (Ami Azzizol) pada pukul 8 malam semalam,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Wajah sayu ibu mangsa, Zabidah ketika menunggu operasi mencari dan menyelamat anak bongsunya.

Amir Amizi berkata, dia dan ahli keluarga termasuk ibunya, Zabidah A. Rahman, 62, bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 1 pagi tadi.

Ujarnya, mereka sekeluarga yang masih terkejut tentang insiden itu berharap agar jasad Ami Azzizol dapat ditemui segera.

“Kami juga menunaikan solat hajat bagi memudahkan operasi pencarian adik lelaki saya,” katanya.

Seorang lelaki dikenali sebagai Junaidi Eddy, dipercayai abang ipar kepada mangsa turut berkongsi beberapa status tangkap layar isteri kepada mangsa yang mendoakan supaya suaminya ditemui semula.

Menerusi status yang dimuat naik oleh Asma Ramlee, merupakan kakak ipar kepada mangsa turut meminta doa daripada orang ramai supaya jasad mangsa dapat dijumpai dengan kadar yang segera.

“Ya Allah, Engkau permudahkanlah segala urusan pencarian mangsa di sana. Tiada daya upaya kami selain dengan pertolonganMu. Kuat semangat yer adik. Reda dengan segala kemungkinan.

“Adik ipar saya lemas di Tasik Kenyir malam tadi, jasadnya masih belum ditemui. Baru 6 hari diorang kahwin. Berat ujian ni buat kami sekeluarga.

“Minta kawan-kawan doakan urusan pencarian mangsa dipermudahkan Aamiin ya rabbal alamin.”

Difahamkan mangsa dan isterinya, Syarifah, bercuti ke Tasik Kenyir bagi meraikan perkahwinan mereka bersama keluarga mentuanya yang menetap di Rasau Dungun.

Sebelum ini, Ami Azzizol dilaporkan lemas dipercayai akibat kekejangan otot ketika mandi di Tasik Kenyir berhampiran sebuah rumah rakit di Sungai Petuang.

Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat masih gagal menemui mangsa.