Hanya Kerana Pokok Nangka, Anak Pukul Bapa Guna Cangkul

Seorang warga emas cedera parah selepas dipukul dengan batang cangkul oleh anak lelakinya dalam kejadian di Kampung Cina Sungai Durian, Teluk Intan semalam.

Patah tulang, terkehel siku dan juga terima 15 jahitan

Ketika kejadian berlaku, mangsa yang berusia 69 tahun telah mengalami patah tulang dan terkehel siku kanan selain turut menerima 15 jahitan pada lengan kanan dan juga kepala.

Memetik laporan Sinar Harian, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis telah menerima laporan daripada menantu mangsa dan telah menjalankan siasatan.

Mangsa dipukul dengan batang cangkul 

“Mangsa mendakwa dipukul suspek berusia 40 tahun dengan batang cangkul kerana berlaku perselisihan faham mengenai pokok yang ditanam mangsa.”

“Suspek tidak mahu mangsa menanam pokok nangka di kawasan tanah miliknya itu sebelum bertindak agresif,” katanya.

Mangsa menaiki motosikal dengan berlumuran darah ke klinik

Menurutnya, orang awam ternampak mangsa menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan berlumuran darah dipercayai untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa meminta bantuan daripada orang ramai yang terus menghubungi pihak ambulan sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan.”

Mangsa mungkin terima hentaman objek keras

“Kesemua kecederaan yang dialami mangsa berkemungkinan dari hentaman objek keras,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, suspek merupakan seorang penganggur tinggal sendirian di sebuah rumah di lokasi kejadian dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Suspek ada rekod dalam jenayah dan dadah

Ujar Anuar lagi, suspek yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah seorang penganggur yang tinggal bersendirian di sebuah rumah di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dalam jenayah dan dadah.”

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.