Penerbit Upin & Ipin Cipta Sejarah, Youtube Malaysia Pertama Raih Diamond Play Button

Penerbit siri animasi Upin Ipin, Les’ Copaque mencipta sejarah apabila menjadi saluran Youtube Malaysia yang pertama meraih 10 juta subscribers.

Les’ Copaque berkongsi berita gembira tersebut di laman Facebook milik mereka sekaligus menjadi channel YouTube pertama Malaysia menerima Diamond Play Button daripada YouTube.

“Alhamdulillah! Kami berjaya! Kami adalah saluran YouTube pertama di Malaysia yang berjaya mencapai 10 juta langganan dan dianugerahkan DIAMOND PLAY BUTTON yang diidam-idamkan.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua peminat setia kami kerana terus percaya dan menyokong kami!”

Channel Les’ Copaque turut menjalankan countdown serta yang turut membuatkan para penonton teruja dengan kejayaan syarikat ini.

Sebelum ini, siri Upin & Ipin baru saja mengeluarkan satu video permohonan maaf dari satu watak bernama Fizi kerana mengguris hati Upin dan Ipin dalam satu episod Syahdunya Syawal.

Tindakan Fizi yang mengatakan tiada syurga buat anak-anak yatim kerana mereka tidak mempunyai ibu bukan saja membuatkan pasangan kembar itu sedih tetapi turut mengundang kemarahan para peminat setia siri animasi itu.

Tahniah diucapkan kepada syarikat Les’ Copaque terutama team yang bekerja keras menaikkan nama siri Upin & Ipin yang menjadi fenomena para penonton bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia.