Memandu Dengan Pengaruh Alkohol, Warga Emas Bayar Denda RM6,000

Seorang warga emas berusia 71 tahun didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret di Port Dickson selepas mengaku salah memandu di bawah pengaruh alkohol pada 6 Jun lalu.

Menerusi laporan Berita Harian, Syed Mahmood Syed Nazimuddin, 71, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 6 Jun lalu jam 11.05 malam ketika memandu sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dalam ‘Op Mabuk’ di Jalan Kampung Baru Si Rusa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh didenda antara RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara maksimum 12 bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, ketika ditahan, ujian menunjukkan bacaan 211 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah yang mana melebihi had ditetapkan 80 mg alkohol/100 mililiter darah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Tertuduh kemudiannya dibebaskan selepas membayar denda RM6,000 itu.