Seorang pelukis pelan akhirnya berjaya membawa anak sulungnya berjumpa bapa buat pertama kali selepas mereka dibenarkan memasuki Singapura menerusi MyTravelPass pada Sabtu lalu.

Nurul Huda Jaafar, 37, bersama anaknya, Mohammad Hamzah Mohamed Sarbini, 5 bulan, kini menjalani kuarantin selama tujuh hari sehingga Jumaat ini.

Lapan bulan terpisah

Menurut Huda, dia dan suami telah terpisah sejak bulan Mac yang lepas dan anaknya tak pernah walau sekali bertemu dengan bapanya sendiri sejak dilahirkan.

“Alhamdulillah syukur segala urusan saya dipermudahkan untuk bertemu suami saya, Mohamed Sarbini Mohamed Salleh, 42, selepas hampir lapan bulan terpisah sejak wabak Covid-19 melanda.

“Anak saya dilahirkan pada 4 Jun lalu dan kini sudah berusia lima bulan. Dia tidak pernah jumpa ayahnya secara fizikal, ini kali pertama dan perasaan rindu kami Allah sahaja yang tahu,” katanya.

Warganegara Singapura

Mohamed Sarbini merupakan warganegara Singapura dan terpisah dengan isterinya yang menetap di Skudai di sini sejak 17 Mac lalu selepas pintu sempadan kedua-dua negara ditutup bagi mengekang penularan Covid-19.

“Suami saya merupakan warganegara Singapura yang bekerja di syarikat penghantaran (kurier), sebelum ini dia berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari, bagaimanapun disebabkan Covid-19, dia tidak dapat pulang ke rumah di Skudai kerana pintu sempadan ditutup.”

Nurul Huda berkata, semasa terpisah ketika itu dia sudah mengandungkan Mohammad Hamzah tujuh bulan yang menjadi anak pertama pasangan itu selepas mendirikan rumah tangga sembilan tahun lalu.

“Ini anak pertama kami selepas melayari bahtera rumah tangga sejak sembilan tahun lalu. Saat gembira menimang cahaya mata inilah memberi kekuatan kepada saya untuk bawa anak bertemu ayahnya,” katanya.

MyTravelPass jimatkan masa

Sebelum ini Jabatan Imigresen memperkenalkan sistem baharu bagi permohonan kebenaran masuk dan keluar negara untuk rakyat Malaysia dan warga asing yang dikenali sebagai MyTravelPass.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, menerusi sistem baharu itu ia secara tidak langsung dapat menjimatkan tempoh permohonan berbanding sebelum ini.

Katanya, sebelum ini jangka masa yang diperlukan oleh pihaknya untuk meluluskan permohonan ialah antara tujuh hingga 10 hari.

“Sebelum ini proses permohonan menggunakan emel, dianggarkan sebanyak 9,000 emel diterima sehari. Atas sebab itu kita terpaksa tapis emel yang diterima terlebih dahulu kerana terdapat permohonan berulang. ”

Kisah perjalanan Nurul Huda membawa Mohammad Hamzah bertemu bapanya tular di media sosial facebook sejak beberapa hari lepas.


Perkongsian itu turut menerima reaksi positif kerana pengorbanan dilakukan Nurul Huda itu selain ada yang bertanya mengenai prosedur memasuki Singapura bagi pasangan warganegara dan penduduk tetap (PR) di sana.

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.