Pendakwah Selebriti Akan Ditahan Polis PJ Pula Kerana..

Polis daerah Petaling Jaya akan menahan pendakwah selebriti berhubung kes rogol dan cabul di sini, hari ini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap individu berkenaan susulan dua laporan di daerah ini.

“Polis daerah Petaling Jaya akan memohon reman terhadap suspek esok bagi membantu siasatan terbabit,” katanya.

Pendakwah selebriti yang disyaki merogol seorang wanita, September tahun lalu ditahan di Shah Alam minggu lalu sebelum direman lima hari bagi membantu siasatan.

Polis menerima dua lagi laporan polis terhadap pendakwah selebriti berusia 25 tahun itu.

Laporan terbaharu diterima 6.28 petang 31 November lalu daripada guru berusia 22 tahun yang mendakwa dirogol suspek.

Ajak mangsa makan dulu

Sebelum ini media melaporkan, pendakwah selebriti yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung tujuh laporan membabitkan kes rogol dan cabul didapati mengajak mangsa keluar makan terlebih dahulu sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati mangsa akan berkenalan dengan suspek menerusi mesej peribadi di Instagram sebelum mempelawa keluar makan.

“Dalam tempoh pengenalan itu, suspek akan memperdayakan mangsa berkenaan dengan menggunakan kapasiti sebagai seorang da’i sebelum mempelawa mereka ke rumah.

“Suspek akan melakukan kegiatan terkutuk seperti dilaporkan mangsa ketika berada di rumahnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.

Huzir berkata, siasatan mendapati semua mangsa dikenali itu adalah pengikut laman Instagram suspek.

“Sehingga kini tujuh laporan diterima membabitkan suspek di sekitar Lembah Klang.

“Daripada tujuh laporan itu, dua membabitkan Seksyen 376 , Seksyen 354 iaitu cabul (3), Seksyen 377C dan satu kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut susulan tiada unsur gangguan seksual,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun dan terdiri penuntut dan individu yang baru bekerja.

“Polis menyeru kepada mana-mana individu yang menjadi mangsa gangguan seksual suspek tampil membuat laporan bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.