Penantian 11 Tahun Berhasil, Lahir Setelah 6 Tahun Dibeku

SEMALAM menjadi detik paling manis buat Noor’adn Muhammad dan suaminya, Mohd Yuhairi Haniff Yoon, apabila usaha dan penantian mereka selama 11 tahun untuk menimang cahaya mata terlerai dengan kelahiran seorang bayi yang ‘disimpan’ sejak enam tahun lalu. Lebih istimewa, zuriat lelaki seberat 3.34 kilogram itu juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi bayi pertama di Hospital [...]

Noor’adn Muhammad dan suaminya, Mohd Yuhairi Haniff Yoon pastinya sangat gembira apabila usaha dan penantian mereka selama 11 tahun untuk menimang cahaya mata terlerai.

Noor selamat melahirkan seorang bayi yang telah ‘disimpan’ sejak enam tahun lalu, lapor Harian Metro.

Cahaya mata lelaki seberat 3.34 kilogram itu juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi bayi pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu itu dilahirkan menerusi teknik pemindahan embrio, selepas enam tahun ia dibekukan.

Ternyata pengorbanan yang dilakukan Noor’adn dalam usahanya untuk mendapatkan zuriat bersama suami bukan calang-calang.

Noor nekad mengambil cuti tanpa gaji sebaik disahkan hamil pada bulan Februari lalu, demi menjaga keselamatan bayi di dalam kandungan.

Malah, guru di Sekolah Rendah Kampung Baru Serada, Marang itu juga tidak dapat berjumpa dengan ibu dan keluarganya di Kelantan, walaupun hari raya Aidilfitri dan Ramadan lalu.

Ini kerana Noor tidak mahu mengambil risiko perjalanan jauh, demi memastikan keselamatan kandungan.

Noor’adn berkata, beliau mula menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) di HSNZ sejak 2012, selepas dirujuk dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

“Saya sudah beberapa kali menjalani rawatan IVF, namun kandungan keguguuran termasuk sepasang kembar pada Julai 2013 ketika usia kandungan 20 minggu.”

Namun menurutna, dia memulakan prosedur pemindahan embrio pada bulan Januari yang lalu.

“Pada 27 Januari lalu saya kembali menjalani prosedur pemindahan embrio kelima yang dibekukan dan Alhamdulillah, Allah mengabulkan doa saya dan suami dan disahkan hamil dua minggu kemudian,” 

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Reproduktif HSNZ, Dr Nasuha Yaacob, kelahiran bayi itu adalah rekod kejayaan buat HSNZ.

Ini kerana lazimnya prosedur pemindahan embrio beku dikenali sebagai ‘Frozen-Thaw Embryo’ itu dilakukan dalam tempoh antara satu hingga lima tahun selepas embrio dibekukan, dengan tempoh maksima pembekuan selama lima tahun.

“Ada beberapa kes yang mana kita memanggil ibu untuk menjalani pemindahan embrio selepas tempoh itu, namun tiada yang berjaya hamil dan ini adalah kejayaan pertama HSNZ melahirkan bayi daripada embrio yang dibekukan selama enam tahun.

“Kita cairkan tiga embrio dan memindahkan dua daripadanya pada Disember lalu, namun si ibu tidak berjaya hamil. Kemudian kita bekukan kembali dan memindahkan semula embrio itu kepada ibu pada bulan berikutnya.

“Embrio ini jelas berada dalam kualiti yang bagus. Walaupun mengalami kaedah pembekuan berkali-kali, ia masih menunjukkan kualiti yang sangat bagus dan tidak terjejas,” 

Pakar O&G itu juga berkata, bayi lelaki Noor itu adalah bayi ke-20 yang dilahirkan menerusi IVF pada tahun ini dan yang ke 118 sejak 10 tahun Unit Perawatan Reproduktif HSNZ ditubuhkan.

Tahniah buat Noor dan suami, semoga cahaya mata yang dikurniakan Ilahi ini membesar dengan sihat dan menjadi anak soleh.