Pelawak Terkenal Ditahan Polis, Bantu Siasatan Kes Pemerdagangan Manusia Untuk Eksploitasi Seks

Pemerdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa.

Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan

Seorang pelawak lelaki yang terkenal telah ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada Ahad bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia.

Suspek telah direman untuk membantu siasatan dan dikenakan kompaun sekiranya bersalah.

Berikutan kes tersebut, suspek telah ditahan reman selama tempoh empat hari. Sumber berita telah dikongsikan oleh Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan dalam serbuan Ops Pintas dilakukan jam 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuala Pilah selepas hasil maklumat dan risikan pihaknya.

Di samping itu, polis telah berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang tunai dan empat buah telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, suspek direman empat hari bermula Ahad hingga Khamis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Selain itu katanya, suspek juga telah dikenakan kompaun atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) ( Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Menurut sumber, mangsa yang terlibat di dalam kes ini masih lagi dalam tempoh perlindungan dan beliau telah ditempatkan di Pusat Perlindungan di Johor.

Siasatan lanjut berkaitan kes ini akan diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang.

Pihak Polis juga tidak akan mendedahkan suspek yang terlibat dalam kes ini sepanjang tempoh reman dijalankan.