Pelakon Wanita Malaysia Ini Kongsi Bagaimana Beliau Dapat Berlakon Dalam Train To Busan Presents Peninsula

Pelakon Malaysia yang namanya sedang meningkat naik, Bella Rahim telah membuat kemunculan dalam filem sekuel Train To Busan, Peninsula yang kini ditayangkan di pawagam.

Penampilan beliau di dalam filem tersohor tersebut telah menjadi kebanggaan dan perhatian netizen Malaysia.

Pasti ramai dalam kalangan peminat yang tertanya-tanya bagaimana Bella berjaya mendapatkan peluang untuk berlakon dalam filem yang dinanti-natikan peminat di seluruh dunia itu.

Bagi anda yang belum tahu, Bella Rahim baru-baru ini ada berkongsikan mengenai perkara itu selepas ditanya oleh salah seorang netizen di akaun Instagramnya.

“Macam mana u boleh dapat tawaran belakon overseas? Super wow lahhh”

Bella memberitahu dia telah menjalani ujibakat menerusi agensi.

“Pihak korea mengadakan ujibakat world wide menerusi agensi casting. Ejen saya panggil saya hadir and saya dipilih, alhamdulillah”

Menurut Bella, proses untuk muncul dan terlibat dalam filem Peninsula itu adalah lebih kurang sama dengan proses yang perlu dilalui untuk filem yang lain.

Bella menjelaskan peluang tersebut hadir apabila dia dihubungi oleh ejennya dan mengadakan ujibakat sebelum dipilih.

Dalam satu temu bual dengan portal hype.my, Bella mendedahkan dia mula dihubungi pada Mei tahun lalu oleh ejennya.

“Dia memberitahu saya ‘adakah awak mahu mencuba (ujibakat) untuk sebuah filem ini yang diarahkan Yeon Sang Ho?’

“Saya memberitahunya sudah pasti! Kenapa tidak? Kemudian saya terkesima apabila nama pengarah itu seperti pernah didengari sebelum ini,” ceritanya.

Kemudian Bella membuat semakan menerusi Google dan mengetahui Yeon Sang Ho adalah merupakan pengarah filem Train To Busan sebelum ini.

Beberapa bulan kemudian selepas ujibakat dijalankan, Bella memberitahu dia mendapat tahu namanya disenarai pendek untuk watak tersebut apabila ejennya menghubunginya ketika sedang makan di restoran mamak.

“Saya menerima mesej daripada ejen saya bertanyakan tentang ukuran baju saya ketika sedang menikmati makanan di kedai mamak.

“Daripada situ saya tahu saya telah disenarai pendek untuk watak tersebut,” jelasnya.

Meskipun Bella tidak membawa watak utama dalam filem Peninsula, pencapaiannya untuk terlibat sama dalam sebuah produksi filem yang menjadi fenomena seluruh dunia sudah pastinya membanggakan seluruh rakyat Malaysia.