Pelajar Melayu UiTM Skor Nombor 1 di Dunia Dalam Program Perakaunan

Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan juga di dunia dalam satu peperiksaan program perakaunan profesion sesi Julai-Disember 2019, lapor Berita Harian.

Pelajar yang baru berusia 18 tahun itu, Hakeem Mohammad Akmal, mendapat markah 100 peratus untuk kertas ‘Recording Financial Transactions’ (FA1), sekali gus melayakkannya dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan di dunia oleh badan profesional perakaunan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), yang berpangkalan di United Kingdom.

Dalam satu kenyataan, pihak UiTM memberitahu Hakeem yang juga pelajar Fakulti Perakaunan sebelum ini melanjutkan pengajian dalam program profesional perakaunan Certified Accounting Technician (CAT) di UiTM Shah Alam, sejak Julai 2019.

Sebelum ini Hakeem telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A di dalam SPM ketika belajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak.

Hakeem yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik terus cemerlang dalam pengajiannya dengan mendapat skor tertinggi dalam peperiksaan FA1 meskipun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam mata pelajaran perakaunan sebelum ini.

Walaupun sebelum ini Hakeem seorang pelajar aliran sains di sekolah menengah, beliau memutuskan untuk menukar bidang kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan lebih mencabar.

Ternyata pihak UiTM amat berbangga dengan pencapaian Hakeem di peringkat antarabangsa ini dan kejayaan itu membuktikan kesungguhan serta sokongan padu daripada pihak universiti dan rakyat Malaysia.

Menurut Hakeem, pihak pensyarah yang mengajar subjek sangat membantu walaupun selepas waktu kuliah.

“Pensyarah yang mengajar subjek ini juga sangat membantu ketika dan selepas waktu kuliah.”

Malah, Hakeem merancang untuk melanjutkan pengajiannya di ACCA selepas menamatkan program CAT.

Beliau juga mahu meneruskan kerjaya dalam bidang percukaian memandangkan bidang itu dilihat mencabar dan mempunyai peluang pekerjaan yang cerah di negara kita.