Peguam keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Syazlin Mansor melahirkan rasa syukur dan sebak selepas keputusan mahkamah bahawa punca kematian anggota bomba itu disebabkan oleh jenayah.

Beliau turut berpuas hati dengan keputusan yang diberikan.

Syukur ke hadrat Ilahi

“Ya, saya bersyukur ke hadrat Allah. Kita bersyukur dengan keputusan hari ini.

“Terima kasih kepada dua pakar, Prof Dr Shahrul dan Amir Radzi. Kedua-dua pakar ini sanggup memberikan keterangan yang benar di mahkamah dan secara pro bono,” katanya di luar Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini, pada Jumaat.

Syazlin turut melahirkan penghargaan kepada semua yang mendoakan kes berkenaan dan keadilan kepada Muhammad Adib.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia dan mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya lagi.

Berpunca Tindakan Jenayah

Mahkamah Koroner pada hari ini telah memutuskan kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca daripada tindakan jenayah lebih seorang individu tidak dikenali, lapor Astro Awani.

Hakim Koroner Rofiah Mohammad yang mengumumkan keputusan itu sebentar tadi berkata ia dibuat setelah meneliti keterangan saksi yang selari dengan kejadian.

“Kita buat keputusan setelah ambil kira keterangan saksi dan setelah meneliti keterangan saksi kes ini jelas melibatkan jenayah,” kata Rofiah.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

“Ketika prosiding inkues juga Allahyarham juga telah mendedahkan dirinya telah ditarik dan perkara ini disokong oleh keterangan saksi yang turut diberitahu perkara yang sama.

“Saya merumuskan bahawa kecederaan lung chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri,” katanya ketika membacakan keputusan inkues.

Mahkamah Koroner turut memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara penyumbang kejadian rusuhaan ini apabila pihak berkuasa itu gagal mengawal keadaan meskipun anggota bomba telah diserang sehingga menyebabkan kekecohan di kawasan kuil.

Rofiah turut memaklumkan serangan yang berlaku terhadap kenderaan pihak bomba itu juga jelas wujudnya keganasan secara fizikal yang menggunakan objek keras terhadap pihak berkenaan.

Antara lain termasuk keterangan salah seorang saksi yang melihat sekumpulan 20 hingga 30 individu seakan dalam pergerakan memukul.

“Saksi ini juga telah memberi keterangan melihat pergerakan kumpulan itu dan mendapati arwah Adib berada di dalam bulatan tersebut dalam keadaan terduduk.

“Hal ini juga lebih jelas apabila saksi ini turut ditolak kumpulan tersebut dan jatuh sebelum menerima tendangan di bahagian bahu saksi yang kelihatan menyasarkan ke arah Adib,” katanya lagi.

Selesai sesi bacaan keputusan, Rofiah menyerahkan keputusan itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Selain ahli keluarga Allahyarham Adib, turut hadir mendengar keputusan itu Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib parah dalam rusuhaan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Susulan insiden itu, pada 28 Dis lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sehingga terkorban ketika rusuhaan itu sebagai wira negara.


Semoga dengan keputusan ini, individu yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.

Filem Sangkar raih kutipan melebihi RM10.3 juta

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.