Niat Persediaan Sebelum Kahwin, Model Maut Ketika Rawatan Sedut Lemak di Cheras

Semua wanita mahu memilik tubuh badan yang langsing dan cantik. Akan tetapi kecantikan dengan cara yang memudaratkan akan mendatangkan keburukan kepada kita.

Keinginan seorang wanita untuk kelihatan cantik bertukar tragedi apabila dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan proses sedut lemak.

Sedut lemak untuk langsungkan perkahwinan tahun hadapan

Difahamkan, wanita berkenaan membuat rawatan tersebut di pusat kecantikan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, semalam.

Mangsa yang berusia 23 tahun itu melakukan prosedur sedut lemak sebagai persediaan untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya yang juga warga Afrika Selatan pada tahun hadapan.

Mangsa telah membayar sebanyak RM2500 untuk jalani rawatan

Menerusi artikel dari Says pula, abang mangsa berkata Coco Siew mengetahui mengenai salon berkenaan di internet dan telah membayar sebanyak RM2500 untuk menjalani rawatan tersebut.

Difahamkan, Coco yang juga seorang model ditemani oleh seorang rakan ketika mengunjungi pusat kecantikan itu.

Pusat kecantikan itu tiada kepakaran melakukan proses sedut lemak

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly berkata, mangsa dikatakan berkunjung ke pusat kecantikan itu jam 2.30 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu berdaftar secara sah, namun tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan proses sedut lemak”.

Mangsa sukar bernafas selepas menerima suntikan

“Namun, pusat kecantikan yang dimiliki seorang wanita dan anak perempuannya itu tetap meneruskan prosedur sedut lemak berkenaan selepas dikatakan menerima desakan daripada mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Jelas Saiful Azly, ketika mangsa menerima suntikan pada tangannya, dia mengalami masalah kesukaran bernafas selain muka dan badannya menjadi pucat sebelum pengsan.

Mangsa dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia

“Pihak pusat kecantikan itu kemudian menghubungi ambulans dan mangsa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia” lapor Harian Metro.

“Susulan itu, kami menahan dua beranak berkenaan yang masing-masing berusia 49 dan 23 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.

Kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat

Ujar beliau lagi, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat,” katanya.

Semoga kisah ini menjadi contoh dan teladan kepada kita semua. Orang ramai dinasihatkan supaya menerima rawatan dengan pusat yang bertauliah.