Niat Lelaki Ini Datang Balai Polis Nak Report Ditipu Beli Telefon, Tetapi Ditahan Kerana Tak Patuh..

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah perumpamaan yang sesuai kepada seorang lelaki berusia 21 tahun apabila dia ditahan ketika hadir untuk membuat laporan polis.

Kejadian tersebut berlaku pada jam 3.20 petang semalam apabila lelaki berkenaan hadir ke Balai Polis Damansara untuk melaporkan telefon bimbit yang dibelinya tidak sama seperti yang dilihat dalam iklan.

Namun begitu, ketika sedang membuat laporan itu, dia kemudiannya telah mengaku masih menjalani tempoh kuarantin seperti diarahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jika anda tertanya-tanya bagaiamana dia pada awalnya menyembunyikan status atau gelang kuarantin yang dipakainya, ini adalah penerangannya.

“Lelaki tersebut mengaku masih menjalani tempoh kuarantin KKM dan telah menyembunyikan gelang kuarantin tersebut di bahagian atas lengan kirinya,” jelas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Menerusi gambar yang turut dimuatnaik dalam perkongsian Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, lelaki itu dilihat memakai baju berlengan panjang, jadi tidak mustahil jika beliau berjaya menyembunyikan gelang berkenaan.

“Polis Daerah Petaling Jaya memberi amaran kepada mereka yang dikenakan perintah kuarantin agar patuh kepada arahan pejabat kesihatan daerah dan KKM.

“IPD Petaling Jaya akan memastikan orang ramai sentiasa mematuhi SOP PKPP. Tindakan tegas akan diambil mana-mana individu yang gagal mematuhinya dan enggan memberikan kerjasama,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada malam semalam.

Rentetan daripada pengakuannya masih menjalani tempoh kuarantin, lelaki itu kemudiannya ditahan sebelum diberi jamin polis pada hari yang sama.

Menurut pihak polis juga, beliau akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai telah menyebabkan merebaknya penyakit selain Sesyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jika disabitkan kesalahan, lelaki tersebut boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak boleh sampai dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya.