Netizen Tertanya-tanya ‘Ayam Masak Yahudi’, Raja Permaisuri Agong Jelaskan Resepinya

Bagi yang mengikuti laman Instagram Raja Permaisuri Agong, pastinya anda akan melihat banyak antara gambar yang dikongsikan berkaitan dengan masakan.

Baginda kerap berkongsi foto dan video masakan di akaun tersebut.

Terbaru, Tunku Azizah telah memuat naik senarai di dalam buku resepi keluarga milik baginda.

Terdapat ratusan senarai resepi di dalam buku tersebut seperti kari pakistan, gulai nenas, ayam masak arab dan banyak lagi.

Namun begitu, satu resepi menjadi pertanyaan para pengikut adalah ‘Resepi Ayam Masak Yahudi’.

Pada 30 November 2020, baginda telah memuat naik satu perkongsian di Instagram.

Baginda mengatakan bahawa ramai yang bertanya tentang nama Ayam Masak Yahudi, oleh itu perkara tersebut dijawab dengan menulis pada kapsyen.

Menurut baginda, resepi tersebut sebenarnya sama saja dengan ayam masak arab cuma berbeza pada bahan-bahannya.

“Ramai yang menanya ayam masak yahudi! sebenar nya rencah nya sama dengan masak arab , cuma tidak masukan tomato dan susu cair, di gantikan dengan kicap …. jadi kita semua gelarkan masakan tersebut masak yahudi …. memang nakal!”

Rata-ratai netizen terhibur dengan penerangan tersebut dan ramai yang meninggalkan komen pada perkongsian tersebut.

“Kambing masak yahudi sedap tuanku. Ramai yang tak tahu resepi ni. Belajar dari arwah mak saya yang dulu belajar di sekolah sains rumahtangga di Johor Bahru.

“Beliau belajr dari Ibu Azizah, gurunya. Selepas itu emak saya pula menjadi guru di sekolah sains rumah tangga di Muar.

“Resepinya guna banyak bawang besar goreng. Al-Fatehah untuk arwah bonda Hjh Kamariah Binti Hashim,”