Guru Sempat Sambut Hari Jadi Bersama Pendakwah Selebriti Sebelum Dakwa Dirogol

Nampaknya bilangan laporan polis mereka yang kononnya menjadi mangsa rogol pendakwah selebriti yang ditahan sebelum ini semakin meningkat.

Menerusi laporan Malaysia Gazette, kes cabul dan rogol membabitkan seorang pendakwah muda – seorang guru sekolah pula mendakwa dirinya menjadi mangsa rogol suspek yang kini direman untuk kes baharu siasatan rogol oleh polis di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan semalam sekitar jam 6.28 petang daripada wanita tempatan berusia 22 tahun.

“Mangsa adalah seorang guru sekolah di sebuah sekolah di kawasan Lembah Klang mendakwa dirinya telah dirogol oleh public figure (pendakwah muda) warga tempatan berusia 25 tahun.

“Menurut laporan polis mangsa, insiden itu menimpanya pada 22 Oktober lalu sekitar jam 9 malam yang mana suspek public figure itu mengajak mangsa keluar bersamanya menyambut hari kelahirannya di sebuah restoran di Petaling Jaya.

“Selepas selesai makan malam, suspek telah mengajak mangsa ke rumahnya di Damansara Perdana. Pada mulanya mangsa enggan mengikut tetapi didakwa telah dipujuk rayu dan dipaksa oleh suspek menyebabkan mangsa akur pergi ke rumah suspek,” kata Nik Ezanee dalam kenyataan terbaharu kes tersebut hari ini.

Tambah beliau, semasa di rumah suspek, mangsa telah dirogol dan pada keesokan harinya suspek telah menghantar mangsa balik ke rumahnya.

Malah katanya, mangsa turut diugut suspek untuk tidak menceritakan tentang kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan trauma.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan kertas siasatan telah dibuka untuk siastaan mendalam.

“Setakat ini di daerah ini terdapat dua laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa berlainan terhadap pendakwah muda selebriti yang sama.

“Laporan pertama pada 29 November 2020 yang disiasat dibawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii secara paksaan tanpa rela dan laporan kedua pada 30 November lalu disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” tegasnya.