Netizen Dakwa Muka Pekerja Di Diego Garcia Mirip Dengan Mangsa MH370, Anak Nafi Itu Ayahnya

Kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang lenyap ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing masih menjadi tanda tanya orang ramai sehingga ke hari ini.

Walaupun sudah genap 8 tahun kes ini terjadi, rakyat Malaysia terutamanya ahli keluarga mangsa tidak pernah melupakan kejadian misteri ini. Malah ada waris yang masih berharap akan bertemu semula dengan mangsa.

Baru-baru ini, tular di seluruh media sosial tentang pekerja-pekerja di AFN Diego Garcia memiliki wajah yang mirip dengan mangsa-mangsa pesawat MH370.

Gambar Ketua Pramugara pesawat iaitu Andrew Nari juga tersebar. Dakwaan yang mengatakan wajah pekerja di Diego Garcia mirip dengan Andrew Nari telah meraih perhatian anak perempuannya, Maira Elizabeth Nari.

Bagaimanapun, Maira di IG Story menepis dakwaan yang dibuat orang ramai dan menegaskan lelaki itu bukanlah bapanya. Dia berasa terpanggil untuk membuat kenyataan tersebut setelah menerima banyak DM berkaitan hal itu.

”Hello, hari ini saya mendapat tahu bahawa orang di dalam gambar ini dikatakan adalah ayah saya atau mirip ayah saya.

“Saya ingin menjelaskan dia bukan bapa saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghubungi saya melalui “direct message” (DM) dan ingin memohon maaf kerana saya tidak dapat membalas satu-satu mesej.

”Namun saya menghargainya dan amat berterima kasih atas ingatan kalian,” katanya menerusi IG Story.

Video yang tular di laman Facebook