Nakal Sungguh Anak Nombor 2! Mulut Bengkak Terlanggar Grill Tingkap, Doktor Pun Ketawa Tengok

Menjaga anak perempuan ada kalanya lebih mudah berbanding menjaga anak lelaki yang memang buas dan lasak sampai pening kepala orang sekeliling nak mengikut rentak mereka.

Iospital phone repair gombak

Bukan setakat dari dalam perut aktifnya, bahkan sehingga ke besar anak lelaki memang nakal. Dah kalau namanya nakal, mesti banyak kemalangan kan?

Persis kisah seorang budak lelaki yang terlalu lasak sehingga meninggalkan kesan pada wajahnya!

Berdasarkan video yang tular di TikTok tempoh hari, kanak-kanak ini mengalami kecederaan ketika bermain sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

Video lucu yang dirakam oleh si ibu sendiri memaparkan mulut kanak-kanak tersebut bengkak teruk.

Menurut Khalilah Liyana Kamarudin, anak keduanya, Muhammad Iyyad Qarizh Mohamad Zulfakar, 4 mengalami kecederaan pada bahagian dalam mulut ketika bermain bersama abangnya.

“Iyyad main kejar-kejar dengan abangnya. Abangnya elok landing atas tilam, tapi dia terbabas terlanggar gril tingkap. Tersalah landing. Ketika itu di rumah neneknya. Rumah pula rumah kayu, bergegar bunyinya.

“Tapi Iyyad menangis kejap je mungkin sebab terkejut. Dia budak tahan lasak.

“Apabila pergi tengok dia, mula-mula tak ada luka pun tapi bila kelebek mulut baru darah keluar banyak. Rupanya urat antara gusi dengan bibir pada sebelah atas terkoyak,” ujar wanita berusia 32 tahun ini.

Panik melihat kecederaan menimpa anaknya, Khalilah dan suami segera membawa Iyyad ke klinik berhampiran.

“Tapi waktu itu darah dah berhenti keluar. Bila check, doktor kata tak serius dan beri ubat.

“Keesokan pagi selepas bangun tidur, barulah nampak mulutnya bengkak sikit terutama bibir atas. Naik tengahari, makin membengkak… menjelang petang, ketara sungguh bengkak.

“Jadi saya minta pendapat seorang saudara yang merupakan seorang jururawat. Dia kemudian mencadangkan agar kami bawa Iyyad ke hospital bimbang jangkitan kuman,” ujar Khalilah yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan.

Tanpa berlengah, dia dan suami segera membawa Iyyad ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor pakar pun turun sendiri tengok. Sebab katanya, kes ni rare sebab biasanya bengkak kerana serangga atau sengatan. Doktor pun tak tahan gelak bila tengok bibir Iyyad.

“Akhirnya Iyyad kena warded malam tu. Doktor cakap urat bibirnya tak ada apa… akan cantum semula, cuma takut terkena jangkitan kuman dekat kawasan luka.

“Alhamdulillah, keesokannya dah discharge. Doktor masukkan antibiotik saja,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Hampir sebulan insiden itu berlalu, Khalilah berkata keadaan anak lelakinya sudah hampir pulih dan perlu menghadiri janji temu untuk rawatan susulan yang ditetapkan.

“Sebenarnya masa mulut tengah bengkak pun dia aktif lagi bermain. Bila kita tegur, dia berhentilah sekejap kemudian sambung main lagi.

“Perangai anak kedua ni orang kata lain daripada yang lain. Abang dia pernah cedera juga tapi tak la teruk sebab tak seaktif dia.

“Saya saja share dekat TikTok sebagai kenang-kenangan… Iyyad besar nanti, dia boleh tengok semula. Selepas share, tak sangka pula masuk For You Page (FYP) hingga dapat jumlah tontonan melebihi dua juta.

“Alhamdulillah, komen semua positif dan doakan Iyyad. Ada juga yang kongsi cerita sama tapi kebanyakannya kerana disengat. Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang doakan Iyyad,” akhirinya.

Video yang tular di laman TikTok

@ilah_khalilahBudok buas buleh sakit ♬ original sound – ‘ ‘