Antara salah satu rahsia mereka yang memiliki wajah awet muda adalah dengan mengamalkan memakan ulam dan sayur-sayuran tanpa perlu suntikan atau produk tambahan yang memudaratkan kesihatan.

Disamping harga sayur dan ulam yang murah dan mudah didapati, ulam juga tidak perlu dimasak. Ini menjadikan ulam antara makanan rutin masyarakat melayu sejak dahulu lagi.

Bagi mereka yang tinggal di luar bandar, ulam lebih mudah didapati dan kebanyakan dari mereka menanam sendiri pelbagai jenis ulam-ulaman di sekeliling rumah kediaman.

Mari kita lihat khasiat ulam-ulaman dan sayur-sayuran bagaimana ia membantu wajah kelihatan nampak lebih muda. Jangan tahu makan sahaja!

Khasiat Ulam Dan Sayur

  • Bukan sahaja ulam malah sayur-sayuran segar baik untuk membantu kelancaran proses penghadaman dan pencernaan. Selain itu, ia juga membantu menyihatkan kulit wajah.
  • Kebanyakan ulam dan sayur ini mengandungi vitamin C yang penting untuk menghasilkan kolagen pada wajah. Kolagen membantu kulit lebih anjal dan mengurangkan kedutan di wajah.
  • Disamping itu, sayur turut mengandungi karotenoid seperti beta karotin yang mana berfungsi melindungi kulit dari sinar matahari dan radikal bebas yang merupakan punca penuaan kulit wajah.

Bagi anda yang risau dengan kulit wajah, jom amalkan ulam tempatan untuk tampak lebih muda walaupun telah berusia. Harga pon murah dan ulam tidak perlu dimasak.

Ini senarai ulam untuk awet muda dan berkhasiat untuk kesihatan.

1. Pegaga

Pegaga antara ulam kegemaran ramai, ada yang lebih suka pegaga sebagai ulam dan ada yang suka membuat kerabu pegaga. Selain senang ditanam ia juga sedap dan mudah didapati di restoran dan di pasar.

Disamping itu, ramai peminat ulam pegaga turut menjadikan pegaga sebagai jus. Amalan meminum jus pegaga ini dikatakan boleh menaikkan seri wajah dengan lebih cepat.

2. Ulam Raja

Ini salah satu ulam kegemaran admin, kebiasannya ia hanya dicuci dan sedia untuk dimakan. Ulam ini memang sedap dimakan bersama sambal belacan dan ikan bakar. Antara khasiat ulam raja adalah meremajakan kulit wajah agar kelihatan awet muda.

3. Jantung Pisang

Jantung pisang memang agak susah didapati tetapi rasanya yang sungguh enak menjadikan ulam istimewa di restoran yang menyediakannya.

Jantung Pisang perlu dimasak, ia tidak boleh dimakan mentah. Kebiasaanya ia dimasak sebagai sayur atau dicelur untuk dijadikan ulam. Ia mengandungi serat yang tinggi dan sesuai untuk membantu mereka yang mempunyai masalah sembelit.

4. Daun Selom

Daun selom ini memang popular dikalangan penggemar ulam. Daun selom antara ulam yang mudah ditanam dan membiak dengan cepat. Ia kaya dengan pelbagai nutrien antaranya kalsium dan vitamin C.

5. Kacang Botol/Kelisa

Kacang botol boleh dimakan secara mentah tanpa perlu dimasak. Ianya juga sering dijadikan kerabu di restoran nasi campur. Selain rasa yang enak dan rangup ia juga kaya dengan protein dan mineral

6. Timun

Sebut sahaja timun, semua orang tahu. Ulam yang paling senang didapati dimana-mana dan sesuai dimakan dengan pelbagai jenis masakan. Dipercayai timun mempunyai banyak manfaat antaranya mampu mengatasi masalah sembelit dan gastrik.

7. Petai

Ini kegemaran semua orang. Sebut sahaja udang masak petai meleleh air liur semua orang. Pelbagai jenis masakan menggunakan petai untuk menaikkan rasa dan bau.

Walaupun petai mempunyai bau yang tidak menyenangkan, namun disebabkan kesedapan yang tidak mampu disangkal ia tetap menjadikan kegemaran semua orang.

Selain dimasak, petai juga boleh dijadikan ulam mentah, dibakar dan direbus. Harga petai juga agak mahal kerana permintaannya yang tinggi dipasaran.

8. Cekur

Ulam cekur tidak begitu popular namun ia sering dijadikan ulam untuk ibu yang sedang berpantang untuk mengecutkan rahim dan membuang angin.

9. Bendi Rebus

Selain membantu meremajakan kulit wajah, khasiat bendi adalah menguatkan ingatan dan kecergasan memori. Ia juga sumber makanan yang baik untuk mereka yang mengalami masalah sembelit, merawat ulser, megurangkan darah haid berlebihan, meningkatkan kesuburan dan melegakan bengkak dan radang.

10. Pucuk Ubi

Pucuk ubi mampu mengurangkan sakit kepala dan air rebusan pucuk ubi berkhasiat untuk meredakan masalah cirit-birit.

11. Kaduk

Daun kaduk seakan sama dengan daun sirih, tetapi bukan kembar. Kedua-duanya mempunyai khasiat yang berbeza. Daun kaduk boleh dimakan mentah ataupun dicelur.

Air rebusan ulam kaduk ini juga dikatakan dapat membantu mereka yang mempunyai masalah kencing tidak lawas, melegakan selesama, sakit pinggang dan sengal-sengal tulang.

12. Jering

Jering juga antara ulam yang mempunyai bau yang agak kuat seperti petai. Jering dikenali kerana khasiatnya yang bagus dan boleh membantu kesihatan.

Ianya mampu mengawal kadar gula dalam darah, membantu mengurangakan masalah anemia dan reput tulang. Penggemar jering perlu berhati-hati kerana jering tidak sesuai diambil secara berlebihan.

13. Terung PipitĀ 

Terung pipit agak pahit rasanya, tetapi sedap dimakan bersama makanan yang pedas. Ianya boleh direbus sehingga lembut. Khasiatnya adalah untuk melegakan sakit perut dan mengurangkan rekahan tumit kaki.

14. Rebung

Rebung masak lemak atau asam pedas rebung antara salah satu makanan kegemaran masyarakat melayu. Rebung juga boleh dijadikan ulam. Ia perlu direbus terlebih dahulu.

Khasiat rebung adalah membantu menurunkan kolestrol, membantu sistem pencernaan dan membantu proses detoksifikasi badan.

15. Peria Katak

Peria memang terkenal dengan kepahitannya. Tapi pahit itulah ubat. Peria katak dikatakan mampu membantu merendahkan tekanan darah tinggi dan mengawal paras gula dalam darah bagi pesakit diabetes.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kesihatan dan keremajaan kulit pembaca semua. Tetapi bagi yang mempunyai masalah kesihatan, anda dinasihatkan untuk bertanya kepada pegawai kesihatan terlebih dahulu. Selamat mencuba!

"If you cannot do great things, do small things in a great way." Napoleon Hill.