Nak Makan Nasi? Ini 6 Tips Dari Doktor Wajib Pesakit Diabetes Tahu Untuk Kawal Gula

Pastinya semua sudah sedia maklum di mana pesakit diabetes mempunyai kandungan gula tinggi dalam badan berbanding orang normal.

Manakala makanan ruji kita iaitu nasi pula ada kandungan gula dan menyebabkan mungkin ramai pesakit diabetes menolak makan nasi.

Perkara ini selalunya dilakukan untuk mengelakkan kandungan gula semakin tinggi dalam badan.

Namun begitu, menurut seorang Pegawai Penyelidik Prinsipal di Pusat Penyelidikan Sains & Teknologi Makanan MARDI, Dr. Suri Roowi sebenarnya tiada masalah untuk mereka yang mengidap kencing manis untuk makan nasi.

Cuma perlu tahu aturannya iaitu dengan memastikan nasi yang diambil mempunyai nilai Indeks Glisemik (GI) yang rendah.

Apa itu GI

GI sebenarnya membawa maksud nilai gula dalam darah dan Dr. Suri dalam Facebooknya berkongsi 6 tips yang perlu diamalkan oleh pesakit kencing manis sebelum makan nasi untuk mengawal gula dalam darah.

1. Jangan makan nasi yang dimasak lembik

Nasi keras mempunyai nilai GI yang rendah. Jadi, nasi keras lebih sesuai untuk pesakit diabetis berbanding nasi lembik.

Maknanya kalau nak masak nasi, pastikan tidak terlebih air untuk mengelakkannya menjadi lembik.

2. Simpan nasi pada suhu sejuk

Nasi sejuk yang disimpan pada suhu 4 darjah Celcius selama 24 jam lebih sesuai untuk pesakit diabetis kerana GI yang rendah berbanding nasi panas.

Nasi panas GI tinggi. Jadi sebelum anda makan nasi, sila sejukkan dahulu.

3. Jangan makan nasi daripada beras hancur

Nasi dari beras hancur mempunyai GI yang tinggi (86) dan kurang sesuai untuk pesakit diabetis. Nasi biasa mempunyai GI (83).

Nasi daripada beras hancur memang sedap kalau dibuat nasi goreng. Tapi, kalau anda pesakit diabetes, sila elakkan ya.

4. Makan nasi dengan sayur

Nasi yang dimakan bersama sayur-sayuran tinggi fiber larut air, seperti kacang bendi lebih sesuai untuk pesakit diabetis, kerana ia meningkatkan kepekaan terhadap insulin.

Menurut Dr. Suri Roowi, pilihlah sayur yang tinggi fiber larut air. Misalnya kacang bendi, Sayur sebegini boleh meningkatkan kepekaan terhadap insulin.

5. Pilih nasi goreng berbanding nasi putih

Nasi goreng pula lebih sesuai untuk pesakit diabetis, berbanding nasi putih kerana mempunyai nilai GI yang lebih rendah.

Nasi yang sudah digoreng mengandungi GI yang rendah. Jadi lebih baik anda makan nasi goreng berbanding nasi putih.

6. Elakkan makan bubur

Bubur lebih tinggi GI berbanding nasi.

Bubur biasanya sinonim dengan orang yang demam atau selsema dan batuk. Tapi jika anda pesakit diabetes, sila elakkan makan bubur. Ini kerana bubur mengandungi GI yang lebih tinggi berbanding nasi.

Semoga perkongsian daripada doktor ini memberi manfaat kepada semua pembaca terutamanya pesakit diabetis.