Nabila Razali Tak Mahu Peminat Tahu Kesedihan dan Betapa Teruk Dirinya Dikecam

Nabila Razali memberitahu cabaran utama dalam membawakan watak Mawar dalam drama mini terbaharunya #SisCuba adalah untuk sentiasa kekal positif, lapor mStar.

Nabila berkata, perkara itu juga cabaran dihadapi oleh semua artis yang perlu kelihatan gembira biarpun diri dilanda masalah.

“Dalam drama ini saya jadi Mawar iaitu seorang wanita yang sentiasa berfikiran positif dan ceria. Itu cabaran kerana sebagai artis juga kita perlu sentiasa positif dan baik di depan peminat biarpun sebagai manusia biasa kita juga kadang-kala berdepan dengan masalah,”

Nabila membawa watak utama dalam drama mini #SisCuba bersama Sarah Suhairi, Syifa Melvin dan Aiman Hakim Redza.

Drama mini#SisCuba mula ditayangkan pada setiap Selasa, pukul 9.45 malam di TV3.

Nabila juga berkata, dia sentiasa mengambil positif setiap kecaman yang diterima biarpun ia kadang kala menganggu emosinya.

“Peminat saya kebanyakkan kanak-kanak dan saya tidak mahu perkara negatif yang saya lalui memberi kesan kepada mereka. Saya tidak mahu tunjukkan betapa sedihnya hidup saya atau betapa teruknya saya dikecam kerana mereka mahu saya sentiasa gembira”, ujarnya.

Tambahnya sokongan kanak-kanak setiap kali persembahan mengubati luka akibat kata-kata negatif netizen.