“Memang gementar, takut pun ada.” Uqasha Senrose Bakal Tunai Umrah Pertama Kali

Pelakon jelita Uqasha Senrose mengaku berasa agak gementar untuk menunaikan umrah buat pertama kali pada bulan ini.

Uqasha memberitahu dia bersama keluarganya bakal mengerjakan ibadah umrah pada 26 Disember ini.

Ini adalah kali pertama bagi Uqasha untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan menurutnya perancangan ini telah diatur oleh ibunya sejak tahun lepas lagi.

“Dari tahun lepas mama rancang buat umrah ni dan akhirnya hujung tahun ini kami adik-beradik dapat cari waktu cuti yang sama. Mama selalu cakap pergi cuti sana-sini boleh… apa salah pergi umrah dan melawat tempat suci umat Islam. Alhamdullilah, hujung tahun ini rezeki kami sekeluarga dijemput ke sana,” katanya kepada mStar Online.

Uqasha berkata dia ada mengikuti kelas agama sebagai persediaan bagi menambah ilmu dan panduan sebelum berangkat ke Makkah.

Walaubagaimanapun, Uqasha mengaku masih berasa gementar untuk mengerjakan ibadat tersebut memandangkan ini adalah perkara baru baginya.

“Memang gementar, takut pun ada. Sekarang ni saya ada mengikuti kelas dan belajar tentang apa yang perlu kita lakukan di sana nanti. Doakan semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan ya!,” ujarnya.

Di dalam sitcom baru Spanar Jaya X, Uqasha membawakan watak Syasya yang sebelum ini adalah karakter yang pernah dilakonkan oleh Wardina Safiyyah.

“Saya ada tonton Spanar Jaya versi asal di Youtube untuk tahu serba sedikit tentang perjalanan drama ini. Penggambaran selama seminggu agak padat, mujurlah pengarah Ahmad Idham banyak membantu dan semuanya berjalan lancar. Apa yang saya boleh kata, watak dan jalan cerita Spanar Jaya X ini berbeza dengan versi asal dan akan mengimbau kembali kenangan lalu,” katanya.

Spanar Jaya X yang baru ini akan ditayangkan di TV3 setiap Sabtu bermula 2 Februari tahun depan.

Spanar Jaya versi asal merupakan sebuah siri televisyen komedi Malaysia terbitan 10 on 10 Pictures untuk siaran di ntv7 selama 6 tahun, dari 1999 hingga 2005.

Dibintangi oleh Rambo Chin, Ahmad Idham, Zaibo, Wardina Safiyyah, Opie Zami, Sharifah Sofia, Annahita Bakavoli dan Syed Hussein, ia mengisahkan Pak Selamat, seorang peniaga kecil yang bercita-cita mencari kejayaan dalam dunia perniagaan.

Ini merupakan lakonan terakhir mendiang Rambo Chin dan turut dibintangi oleh mendiang Shuba Jay.

Pada 2015, Spanar Jaya telah disenaraikan oleh portal Yahoo! News sebagai salah satu rancangan sitkom tempatan paling diingati.