MBS Dedah Kos Tangkap & Mandul Anjing Liar Cecah Lebih RM 300K, Cadang Buka Lebih Banyak Tempat Perlindungan

Seperti yang kita tahu, terdapat beberapa kes yang melibatkan kewujudan anjing liar di kawwasan tertentu. Oleh hal demikain, kawalan anjing liar dilakukan oleh Majlis Perbandaran bagi menjamin kesejahteraan orang awam.

Memetik laporan Sinar Harian, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengeluarkan kos operasi menangkap dan memandulkan anjing liar sebanyak RM 350,000 sepanjang tahun lalu.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali menyatakan bahawa sebanyak 3,500 ekor anjing liar telah ditangkap dan ditempatkan di sebuah tempat perlindungan anjing liar di Rantau sepanjang tempoh itu.

“Operasi menangkap anjing dilakukan oleh kontraktor yang dilantik dan tempat perlindungan itu pula dikendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bukan jumlah yang sedikit MBS keluarkan untuk mengendalikan isu anjing liar ini dan sehingga kini kita masih cuba mencari jalan penyelesaian terbaik,” kata Masri.

Berdasarkan kenyataan beliau, pihaknya mengakui bahawa bukan mudah untuk mengendalikan isu anjing liar.

Hal ini disebabkan ianya menelan kos yang tinggi dann harus mengambil kira sensitiviti beberapa pihak yang tertentu.

Dalam pada itu, banyak aduan telah diterima terutamanya di kawasan perumahan yang mengalami masalah anjing liar ini.

“Setiap aduan diterima kita akan ambil tindakan, tapi biasanya bila operasi tangkapan anjing liar dibuat, anjing-anjing itu tiada di tempat dinyatakan.

“Saya juga nak minta kerjasama masyarakat supaya tidak memberi makan kepada anjing liar kerana ia boleh menjadi faktor haiwan itu berkeliaran dan membiak di tempat mereka,” jelasnya.

Susulan itu, sebuah lagi tempat perlindungan anjing liar akan telah dicadangkan untuk dibuka di daerah tersebut dan masih dalam proses mencari lokasi yang sesuai.

Namun begitu, Masri mendakwa bahawa ianya bukan jalan penyelesaian sepenuhnya untuk menangani isu anjing liar yang sering dilaporkan.

“Sampai bila kita nak tangkap dan tempatkan anjing ini di tempat perlindungan saja. Jadi kita masih memikirkan langkah-langkah yang sesuai,” terang beliau.

 


Sekadar info, baru-baru ini juga Majlis Perbandaran Klang (MPK) menghentikan seketika operasi penangkapan anjing liar di kawasan tersebut bagi memberi laluan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor menjalankan siasatan berkaitan isu tular di media sosial.

Dikatakan pada 16 Ogos lalu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan itu yang telah didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan penangkapan terhadap anjing liar sehingga menyebabkan kecederaan kepada haiwan tersebut.

Menurut SAFM, pihaknya menerima satu video yang memaparkan kekasaran terhadap seekor anjing dewasa diheret dan dihumban secara ganas oleh seorang petugas menggunakan gelung tangkap, serta dipaparkan bahawa anjing itu sudah pun berlumuran darah di mulutnya namun masih diseret.

Menerusi video itu, jelas terbukti bahawa ia menggambarkan kegagalan pihak berkenaan dalam mematuhi SOP penangkapan anjing.