Festival Floria Diraja Putrajaya 2022 Dilanjutkan, Beri Peluang Sempena Cuti Penggal Sekolah

Alam flora ini bukan sahaja penting untuk habitat fauna, malah dikatakan mampu melegakan stres dan bantu kita untuk menenangkan fikiran. Hal ini membuktikan bahawa alam flora perlulah dipelihara dan dipulihara sepenuhnya agar kebaikannya masih boleh terjamin.

Begitu juga baru-baru ini, suatu festival diadakan iaitu Floria Diraja Putrajaya 2022 yang memaparkan pelbagai spesies bunga-bungaan dan tanaman hiasan.

Dikatakan, festival yang sepatutnya dijadualkan berakhir hari ini telah diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bahawa festival ini akan dilanjutkan sekali lagi sehingga Ahad ini iaitu pada 11 September bagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum berkunjung ke festival tersebut.

Menurut Shahidan, tiket masuk ke Festival Floria Diraja Putrajaya 2022 adalah percuma mulai hari esok bagi memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka yang sedang bercuti penggal persekolahan sehingga hujung minggu ini.

“Ini adalah hadiah buat Keluarga Malaysia. Kita bagi percuma sebab ada ibu bapa yang bawa anak-anak melawat Putrajaya, jadi wajar kita bagi masuk percuma.

“Dengan kemasukan secara percuma ini, kita sasar 100,000 pengunjung hadir untuk tempoh lima hari pelanjutan ini,” kata beliau.

Pada hari Jumaat lalu, festival itu dilanjutkan sehingga ke hari ini (6 September) yang diumumkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) ekoran sambutan yang amat memberangsangkan daripada orang ramai.

Difahamkan, pada awalnya festival itu sepatutnya berakhir pada 4 September yang lalu.

Tambah Shahidan, terdapat pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya persembahan daripada kumpulan busker, dan juga cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal pada hari terakhir Floria Diraja Putrajaya 2022.

Floria Diraja Putrajaya 2022 telah dikunjungi lebih 400,000 pengunjung sejak ianya mula dibuka pada 29 Ogos lalu.

Festival flora ini diadakan di Anjung Floria, Presint 4 di Putrajaya, dan terdapat kira-kira 10,000 pokok orkid serta 400,000 tanaman pelbagai spesies dipamerkan.

Taman Keluarga Malaysia telah dipamerkan di festival itu dengan konsep yang diadaptasikan melalui tiga nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Selain Taman Keluarga Malaysia, antara komponen lain yang terdapat di festival itu ialah Taman Koboi dan Sukulen, Taman Instagrammable, Hiasan Dinding Orkid dan Terowong Oncidium.

Pada ketika itu, Shahidan turut mengisytiharkan bunga raya sebagai bunga rasmi bagi Putrajaya.