Harga Sayur-Sayuran Naik, Bekalan Terjejas Akibat Musim Hujan Lebat Yang Berterusan

Umumnya, musim hujan di Malaysia ini sering berlaku sekitar bulan November hingga Mac. Walau bagaimanapun sejak beberapa minggu lalu, banyak kawasan di sini telah mula menerima taburan hujan yang tinggi dan hujan lebat yang berterusan.

Ekoran musim hujan lebat ini, harga sayur-sayuran pula dikatakan naik disebabkan kekurangan bekalan hasil tanaman.

Memetik laporan Channel News Asia, hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan bekalan hasil tanaman mereka semakin berkurang lantas kenaikan harga perlu dilakukan.

Persatuan pemborong sayur-sayuran Malaysia, Steven Lee menyatakan bahawa bekalan sayuran telah berkurang sebanyak 20 hingga 30 peratus di kawasan pengeluaran tanaman seperti Melaka, Cameron Highlands dan pasar di bahagian Kuala Lumpur.

“Biasanya, pada suku ketiga tahun ini, antara Julai dan Oktober, cuaca akan baik dan akan berlaku pengimbangan semula bekalan. Petani akan mendapat hasil tanaman yang baik dan harga akan jatuh.

“Tetapi pada tahun ini, kita tidak melihatnya sama sekali dan harga semakin naik dan berkemungkinan akan terus naik,” kata Steven.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Peladang Sayur Yong Peng Cheng Tai Hoe memaklumkan bahawa kira-kira 20 peratus bekalan hasil tanaman daripada petani di utara Johor telah menurun pada bulan lalu.

Susulan penurunan bekalan, harga sayur-sayuran bakal meningkat disebabkan kuasa pasaran, yang akan membataskan kuasa beli pengguna terhadap sayur-sayuran yang semakin berkurang.

Menurut Lee, beliau sedang mempertimbangkan untuk membina rumah hijau untuk penanaman sayur dek hujan yang tidak menentu.

“Bagi ladang dengan rumah hijau, kesan cuaca panas atau hujan yang berpanjangan adalah lebih kurang. Hujan lebat tidak memberi kesan kepada perniagaan ini kerana hasil tanaman lebih konsisten.

“Malah, dalam tempoh harga tinggi akibat kejatuhan bekalan, petani yang menggunakan rumah hijau ini menang kerana mereka mampu mengaut hasil yang lebih tinggi,” jelas Lee berhubung isu tersebut.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pada hari ini juga telah meramalkan musim hujan akan berlarutan untuk beberapa bulan yang bakal mendatang.

Dikatakan, hujan dijangka bakal melanda beberapa bahagian negara sehingga pertengahan September.

Namun begitu, MetMalaysia menjelaskan bahawa hujan mungkin dijangka akan berlaku banyak negara sehingga Februari 2023.

Hal ini disebabkan monsun timur laut tahunan yang biasanya berlaku dari Oktober hingga Mac.