Marah Sebab Tak Khusyuk, Jemaah ‘Samseng’ Tolak Budak Sampai Telentang Dalam Masjid Dikecam Warganet

Suasana masjid dan surau lebih ceria dengan kehadiran jemaah dikalangan kanak-kanak bahkan para ibu bapa juga boleh mengajar anak-anak untuk menunaikan kewajiban secara berjemaah di masjid ataupun surau.

Pun begitu, ada juga di kalangan jemaah yang dikatakan kurang senang melihat anak-anak kecil yang berlari ke hulu ke hilir atau pun membuat bising di dalam surau.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana aksi seorang jemaah lelaki yang menolak kanak-kanak sehingga jatuh ke lantai surau terakam di sebuah CCTV.

Memetik laporan mStar, insiden tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan kanak-kanak berkenaan yang dilihat berlari dan bermain sesama mereka di saf paling belakang.

Kesal dengan apa yang berlaku, seorang individu bernama Shahrul Hisham berkongsi semula video berkenaan di Facebook dan menegur si pelaku.

“Masa Nabi solat, cucu Baginda main-main sampai naik atas tubuh Baginda. Tak ada Baginda nak marah.”

“Pakcik dalam video ni confirm masuk syurga ke sampai nak terajang anak orang. Pakcik tahu tak, generasi inilah nanti yang akan penuhkan saf tu bila pakcik mati,” tulisnya

Katanya lagi, sikap yang ditunjukkan lelaki terbabit boleh menjadi punca golongan muda mula menjauhkan diri daripada menunaikan solat di masjid.

Tambah Shahrul yang bersimpati dengan apa terjadi pada kanak-kanak itu, dia menyalahkan lelaki terbabit jika dia rasa terganggu dan tidak khusyuk ketika beribadah.

“Generasi inilah yang mungkin tak akan jejak kaki ke surau atau masjid sebab malas nak bertelagah dengan ‘ahli syurga’ macam pakcik.”

“Kalau pakcik tak khusyuk, tu masalah pakcik. Bukan masalah budak-budak tu. Nabi solat waktu perang elok khusyuk.”

“Khusyuk atau tak, bergantung pada iman, pada fokus dan pada niat. Kalau dah memang pasang niat nak salahkan budak-budak tu, sampai mati pun pakcik takkan khusyuk.”

“Budak-budak nak mengenal solat, jemaah, surau dan masjid. Normal kalau perangai macam tu. Pakcik dulu kecil-kecil baik sangat ke,” luah Shahrul.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen berang dengan lagak samseng lelaki tersebut sehinggakan budak itu terjatuh di khalayak ramai.

“Dengan kelakuan macam ni tak terkejut pun kalau budak-budak ni tak nak datang surau atau masjid. Rasa nak menangis budak diperlakukan macam tu. Beruntunglah mana-mana tempat yang masih ada suara budak di dalam masjid atau surau.”

“Aku tak setuju langsung pakcik tu buat teguran macam tu. Sangatlah tak sepatutnya. Parents pula sebaiknya kena selalu beritahu anak-anak dan didik mereka adab sepatutnya apabila berada dalam masjid.”

“Sebab orang macam ni la anak aku merajuk tak nak pergi masjid. Umur dia lima tahun ikut suami pergi masjid. Nak solat sebelah ayah tapi kena paksa dengan orang masjid suruh solat dekat belakang sekali dengan budak lain.”

Video yang tular di laman Facebook: