“Makan sebiji telur goreng dipotong empat..” Ibu Tunggal 3 Anak Hidap Angin Ahmar Perlukan Bantuan

Seorang ibu tunggal berdepan kesukaran apabila disahkan menghidapi penyakit angin ahmar yang telah menyerang sebanyak dua kali dalam tempoh enam bulan.

Keadaan Maimun Said, 50, bertambah parah apabila rumah sewa yang didiami di Jalan Berembang 2, Kampung Rumah 10, Plentong tertunggak bayaran dua bulan sehingga diminta supaya keluar, esok.

Menerusi laporan Harian Metro, Maimun berkata, walaupun menderita angin ahmar yang menyebabkan bahagian kanan anggota badan dari tangan hingga kaki hilang upaya, sejak Oktober tahun lalu, dan tidak mampu berjalan serta memakai lampin pakai buang.

Sebelum ini, keluarganya tidak pernah terlepas dari melangsaikan duit sewa rumah berjumlah RM700, kerana anak keduanya, Nik Mohd Mazrulhafendi Nik Mazlan, 28, mempunyai pekerjaan.

“Tetapi beberapa bulan lalu, anak yang menjadi tonggak keluarga diberhentikan kerja kilang, sehingga kami tidak mampu untuk membayar rumah sewa.

“Makcik cuba untuk kuatkan semangat dan penyakit itu menunjukkan tanda positif untuk pulih pada hujung tahun lalu.

“Namun, pada Mac lalu makcik diserang angin ahmar sekali lagi pada anggota badan sama.

“Anak sudah mendapat kerja baru sebagai pengawal keselamatan bulan lalu, tetapi kami masih tidak membayar tunggakan sewa rumah berjumlah RM1,400. Jumlah itu terlalu besar buat kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Maimun berkata, dia bersama tiga anak yang tinggal bersama termasuk anak bongsu berusia 15 tahun, pernah makan nasi berlaukkan sebiji telur goreng yang dipotong empat bahagian.

“Ada masanya makcik makan cuma sehari sekali. Dahulu makcik malu nak meminta tolong dengan orang, sekarang makcik sudah tidak mampu bertahan dan tidak larat lagi nak tanggung derita.

“Makcik harapkan dapat menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR), dalam masa terdekat.

“Makcik tidak pernah memohon PPR dan apa-apa bantuan sebelum ini kerana tidak tahu dan pada ketika itu anak masih mempunyai kerja tetap menyara keluarga,” katanya.

Malah, wanita itu juga sudah dua bulan tidak mendapatkan rawatan susulan bulanan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, akibat pendarahan dalam kepala kerana tidak mempunyai kenderaan dan wang mencukupi.

Bagaimanapun, nasib yang menimpa keluarga itu mendapat perhatian, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang menyumbangkan barangan keperluan harian buat wanita itu antaranya tilam, susu formula, lampin pakai buang dan keperluan dapur.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 013-8379464.