[VIDEO] “Mak dah pindah ‘rumah’ baru,” Sebulan Tak Balik Niat Nak Buat Kejutan, Tapi Ibu Sudah Tiada

Benarlah, rindu yang paling sakit adalah rindu kepada orang tersayang yang telah pergi buat selamanya.

Walau ada yang cuba ‘ditutup’ dengan perbuatan, namun jauh di dalam lubuk hati tiasa siapa yang tahu.

Kepulangan ke kampung halaman yang dahulunya disambut oleh sang ibu di muka pintu kini hanya tinggal kenangan.

Apa yang lebih menyebakkan, ucapan salam juga hanya disambut suasana sepi menandakan rumah yang kosong tanpa penghuni. Tiada lagi kelibat wajah ‘dia’ yang setia menanti.

Sama juga seperti video yang tular baru-baru ini tentang seorang pemuda yang baru sahaja kehilangan ibunya mengakui berasa masih janggal apabila pulang ke kampung tanpa disambut oleh ibunya.

“Niat nak buat kejutan tapi mak tak ada pun dalam rumah. Baru aku ingat mak dah pindah ‘rumah baru’.

“Adik rindu mak. Rumah kita sunyi, suram tanpa mak sekarang,” begitulah luahan penuh emosi yang dikongsikan pemuda ini menerusi satu video di aplikasi TikTok.”

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam, video berkenaan meraih 1.9 juta jumlah tontonan.

Pemergian ibunya, Nur Asiah Tamdun, 72, benar-benar memberi kesan yang besar terhadap dirinya apatah lagi dia sempat berbakti menjaga ibunya itu selama dua tahun sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir.

Mengulas lanjut, ibu Saffee pergi menghadap Ilahi oleh kerana penyakit kencing manis dan buah pinggang pada 31 Mei yang lalu, lapor mStar.

“Sebelum ini saya bekerja di Kuala Lumpur namun mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung di Baling, Kedah untuk menjaga mak yang sakit.”

“Kami berdua sahaja di rumah memandangkan adik beradik lain bekerja dan sudah berkeluarga. Sepanjang dua tahun menjaga mak, saya banyak share keadaannya di media sosial, jadi ramai yang tahu mengenainya.”

“Tapi selepas mak meninggal dunia, saya ‘berehat’ lama dari media sosial. Susah nak move on… sakit rindu tu perit. Sebulan selepas mak meninggal, saya perlahan-lahan move on dan pulang ke Shah Alam kerana ada buka bisnes nasi kukus.

“Baru-baru ini saya pulang ke kampung kerana temu janji vaksinasi. Masa buka pintu rumah, tengok ‘kosong’ sangat. Tiada lagi kelibat mak. Saya jadi ‘blur’. Semua sudut dalam rumah buatkan perasaan rindu tu bertandang semula,” ujar pemuda yang berumur 30 tahun ini

Merupakan anak bongsu daripada 5 beradik, dia kini banyak meluangkan masa menziarahi ‘rumah baharu’ ibunya sebelum berangkat pulang semula ke ibu kota.

“Saya selalu ziarah kubur mak untuk hilangkan rasa rindu. Sekarang ni musim buah-buahan… saya kutip buah-buah dari pokok yang ditanam oleh arwah mak untuk disedekahkan dengan jiran”

“Banyak sangat kenangan sepanjang dua tahun jaga mak. Saya ingat lagi sehari sebelum dia meninggal dunia, dia sempat luah yang dia sangat sayangkan saya.”

“Dia kata, kalau dia dah tak ada nanti, adik beradik kena berpakat… jangan sesekali bergaduh.

“Mak okay saja hari tu, tapi malam tu tiba-tiba keadaannya merosot dan nazak, sebelum menghembuskan nafas terakhir,” ujar Saffee yang sudah kehilangan bapa ketika tingkatan lima.

Videonya itu tular di media sosial dan dia titipkan rasa syukur kerana komen dibanjiri dengan doa daripada warga netizen.

Saya jadi ‘blur’. Semua sudut dalam rumah buatkan perasaan rindu tu bertandang semula- Safee Rahim

“Saya bersyukur, sejak mak sakit hinggalah dia dah meninggal dunia, ramai yang mendoakannya.

“Video ini sebenarnya untuk meluahkan rasa rindu kepada arwah, namun tak sangka ramai turut terkesan.”

“Mungkin masa saya buat video ini, saya buat dengan sepenuh hati membuatkannya ‘sampai’ kepada mereka yang menonton.”




Saffee berkongsi perniagaan nasi kukus bersama seorang rakannya di Shah Alam.

“Memang rindu tu perit… namun saya lega kerana berpeluang berbakti menjaganya sehingga menghembuskan nafas terakhir.

“Kami adik beradik juga menguruskan jenazah mak dari awal hinggalah selesai semuanya.”

“Buat yang masih ada ibu, janganlah sia-siakan ibu masing-masing. Jagalah mereka selagi masih ada waktu dan peluang.

“Masa mereka di dunia ini tak lama pun. Sekurang-kurangnya bila mereka ‘pergi’, kita tak terkilan,” ujarnya lagi.

Video tular di laman Tiktok

@paksu..yashWalaupun sakit terubat rindu ku .. ##lovemymom ##balingkedah ##fyp ##alfatihah♬ original sound – wanaefez