Mahu i-Sinar KWSP RM10k Tanpa Syarat, Najib Razak Jumpa Kerajaan PN Namun Ini Jawapannya

Di saat pandemik yang memberikan kesan terhadap ekonomi sebahagian penduduk Malaysia, rata-rata rakyat mengharapkan pengeluaran simpanan KWSP dipermudahkan.

Ekoran daripada itu, bekar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya memberitahu beliau sudah berjumpa dengan wakil kerajaan PN berkenaan isu ini.

Lanjut moratorium automatik dan pengeluaran KWSP i-Sinar tanpa syarat

Najib telah melontarkan pandangannya untuk memberikan lanjutan secara automatik bagi moratorium pinjaman dan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat.

“Tengah hari semalam, saya telah bertemu dengan kerajaan PN untuk membincang isu lanjutan automatik moratorium pinjaman dan pengeluaran akaun 1 KWSP RM10k tanpa syarat.

“Saya beritahu mereka bahawa ramai rakyat yang tercicir dan terbeban dengan syarat-syarat KWSP dan kita tidak mahu lihat berjuta-juta Rakyat beratur di pejabat KWSP untuk serahkan pelbagai dokumen sebagai bukti mereka layak untuk pengeluaran i-Sinar.

Ramai tak lulus

“Saya juga ceritakan bahawa ramai yang mengadu bahawa mereka tidak diluluskan lanjutan moratorium dan ada bank yang mengambil kesempatan untuk menambah tempoh pinjaman bagi mengaut lebih keuntungan bagi mereka yang minta lanjutan moratorium.

“Saya kata kita harap kerajaan PN boleh buat serupa dengan moratorium pertama awal tahun ini.”

Apa yang diumumkan sudah elok

Walau bagaimanapun, menurut Najib, kerajaan PN bertegas apa yang sudah diumumkan sudah elok.

“Namun, Kerajaan PN jawab saya bahawa apa yang sudah diumumkan sudah elok dan mereka anggap mereka sudah buat segala yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan saya dan BN bagi dua isu ini.

“Mereka kata pada saya bahawa mereka telah serahkan kepada Menteri Kewangan, CEO KWSP dan bank-bank untuk laksana apa yang diperlukan atau menambah baik jika ada keperluan.”

Ambil kesempatan dalam kesempitan

Menerusi ruangan komen, Najib turut meluahkan kekecewaannya apabila terdapat bank yang seolah-olah mengambil kesempatan dalam kesempitan peminjam.

“Paling mengecewakan saya ialah ada bank yang seolah-olah mengambil kesempatan dalam kesempitan dengan janji kerajaan PN. Rakyat dalam kesusahan dimangsakan.

“Harap kerajaan sedar perkara begini sedang berlaku.”