Lif PPR di KL Terhempas, Empat Orang Patah Kaki

Bagaikan mimpi ngerri menjadi kenyataan apabila seramai lapan mangsa mengalami kecederaan selepas lif sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Pantai, ibu negara terhempas.

Menurut laporan Astro Awani, lif tersebut dikatakan tidak berfungsi dari tingkat lima bangunan itu dan terus terhempas ke bawah.

Di dalam satu kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 petang, pada Jumaat.

Seramai 18 orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan Seputeh dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sejurus tiba di lokasi, bomba mendapati sebuah lif terhempas dari tingkat lima ke tingkat bawah bangunan dan terdapat lapan mangsa yang terperangkap di dalam lif berkenaan.

Mangsa terdiri daripada enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

Dilaporkan empat mangsa lelaki termasuk kanak-kanak itu mengalami kecederaan patah kaki manakala mangsa selebihnya mengalami kecederaan bahagian pergelangan kaki.

Kesemua mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Pihak bomba menyatakan punca kejadian masih dalam siasatan dan akan dikemaskini kelak.