Sesi Persekolahan Bakal Bermula Mac 2023, Ini Penjelasan Kementerian Pendidikan

Cuti persekolahan sudah pun tiba pada minggu ini. Difahamkan baru-baru ini juga Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan sesi persekolahan bagi tahun akan datang iaitu 2023.

Iospital phone repair gombak

KPM telah menetapkan sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 akan dimulakan pada 19 Mac 2023 bagi Kumpulan A dan 20 Mac 2023 bagi Kumpulan B.

Menerusi laporan Kosmo, KPM menyatakan bahawa sesi persekolahan bagi negeri Kumpulan A akan dimulakan pada 19 Mac hingga 9 Mac 2024 dan untuk Kumpulan B pula dimulakan pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024.

Dikatakan, sesi persekolahan baru 2023/2024 sepatutnya bermula pada 12 Mac 2023 berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021 sebelum ini.

“Ketetapan baharu itu dibuat supaya pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan KPM dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Selain itu, perubahan permulaan sesi sekolah itu turut dilakukan supaya sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada bulan Mac 2023.

“Ia juga bagi memastikan KPM mematuhi Peraturan- Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 supaya sesi persekolahan tidak kurang daripada 190 hari,” jelasnya.

Manakala berkaitan dengan cadangan mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada bulan Januari, KPM mengeluarkan pendapat bahawa perkara itu mampu l dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula pada tahun 2023 sehingga 2026.

Walau bagaimanapun selepas mengambil kira kebajikan guru, murid dan kesan terhadap ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini atas sebab untuk meminimakan impak kepada pihak yang terbabit.

“KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada bulan November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

“Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat,” terangnya mengenai isu tersebut.

Jelas KPM, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac.

Tambahnya lagi, KPM sentiasa memantau terhadap keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik bagi tahun seterusnya.

Hal ini dilakukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum dan lebih berkesan.

Sekadar info, Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh dimuat turun melalui laman sesawang KPM di pautan https//www.moe.gov.my/takwim.