Lahir Semasa Perintah Berkurung, Bayi Kembar Diberi Nama Corona dan Covid

Satu pasangan ibu bapa yang baru saja menimang cahaya mata kembar telah membuat keputusan untuk menamakan bayi mereka itu Corona dan Covid.

Menurut laporan, bayi kembar berkenaan baru sahaja dilahirkan ketika perintah berkurung yang sedang dijalankan di Raipur, India.

Ibu bayi tersebut memberitahu nama Corona dan Covid diberikan untuk menunjukkan simbolik kemenangan menghadapi kesukaran ketika wabak ini masih lagi berleluasa di negara itu.

Bayi berkenaan dilahirkan tengah malam pada 26 Mac lalu di DRBR Ambedkar Memorial Hospital, India, ketika negara berkenaan juga masih mengharungi perintah berkurung.

Berusia 27 tahun, ibunya Preeti Verma, menceritakan kembali saat melahirkan dua orang bayinya itu di mana ambulans yang membawanya ke hospital telah ditahan beberapa sekatan jalan oleh pihak polis disebabkan perintah berkurung yang sedang dikuatkuasakan.

Namun begitu, kesemua sekatan itu membenarkan ambulans berkenaan untuk meneruskan perjalanan selepas mengetahui keadaannya ketika itu.

Malah, semasa proses bersalin, kakitangan hospital turut memanggil kedua-dua bayi kembarnya itu sebagai Corona dan Covid.

Tambahnya lagi, kesan daripada penularan wabak tersebut, orang ramai mla menjaga kebersihan dan penjagaan diri.

“Kelahiran itu berlaku selepas kami berdepan dengan pelbagai kesukaran, jadi saya dan suami mahu menjadikannya sebagai hari yang tidak dapat dilupakan.

“Virus COVID-19 memang bahaya dan mengancam nyawa, tetapi kesan daripada wabak itu, orang ramai fokus menjaga kebersihan dan penjagaan diri. Jadi kami fikir untuk menggunakan nama tersebut,”

Verma mahu mengabdikan hari kelahiran anak kembarnya sebagai satu hari yang tidak dapat dilupakan bukan saja di India tetapi juga di seluruh pelusuk dunia.